mutakhir

'Hanya doa untuk mak'

Oleh Mohd Rafi Mamat

SAMBUTAN hari ibu semalam tidak bermakna lagi buat dua beradik yang kehilangan ibu tersayang Julai tahun lalu akibat kemalangan jalan raya.

Dua beradik itu, Syarifah Sazwina Sarih dan Sarih Mohamad Syazwan juga mengalami cacat kekal akibat kejadian itu.

Lebih memilukan, tragedi itu turut mengorbankan adik bongsu mereka, Sofia Mikyla Sarih Mohd Zaini, yang ketika itu berusia 18 bulan.

Kemalangan berlaku pada 6 Julai 2019, apabila motosikal yang dinaiki empat beranak itu dirempuh pacuan empat roda ketika dalam perjalanan ke bandar Rompin untuk membeli barang.

Syarifah Sazwina, 10, berkata, ingatan terhadap ibunya, Fazrina Yusof, tidak pernah luntur dan merasakan kejadian itu seolah-olah baru berlaku.

Katanya, Ramadan tahun ini juga disambut dalam suasana berbeza apabila insan paling penting dalam keluarga tidak lagi bersama mereka.

"Semasa arwah mak ada dia yang paling menyediakan hidangan bersahur dan berbuka, saya dan ayah hanya membantu sahaja, kini semuanya sudah tinggal kenangan.

"Setiap kali teringat arwah mak saya akan menangis sepuasnya, apa lagi yang dapat saya lakukan dalam keadaan serba kekurangan ini," katanya ketika ditemui hari ini.

Katanya, akibat kemalangan itu kaki kanannya hancur dan memerlukan sokongan besi, malah keadaannya belum sembuh sepenuhnya.

Syarifah Sazwina berkata, kaki kanan adiknya juga terpaksa dipotong hingga paras bawah lutut, dia kini terpaksa menggunakan tongkat untuk berjalan.

Katanya, walaupun terlalu berat untuk mengharungi kehidupan tanpa emak, namun dia perlu reda selain mengutip kekuatan daripada ayahnya Sarih Mohd Zaini.

"Bagi melepaskan rindu saya, adik dan ayah akan menziarahi pusara mak yang terletak tidak jauh dari rumah.

"Hanya doa sahaja dapat disampaikan kepada arwah mak," katanya yang tidak pasti bila dapat meneruskan persekolahan akibat kecederaan itu.

Disiarkan pada: May 11, 2020 @ 5:17pm
d