mutakhir

'Rapid Test Kit' Antibodi tak sahkan jangkitan semasa [METROTV]

Oleh Shamran Sarahan

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) tidak menyarankan penggunaan Rapid Test Kit (RTK) Antibodi sebagai ujian pengesahan Covid-19 di klinik swasta bagi saringan pekerja untuk kembali bertugas.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pihaknya mengambil maklum isu dibangkitkan beberapa pihak berhubung perkara itu.

Beliau berkata, sebagaimana yang sering KKM tekankan, ujian bagi mengesan virus Covid-19 hanya berasaskan antigen iaitu melalui ujian Real time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (rRT-PCR) ataupun ujian RTK Antigen.

Katanya, kedua-dua ujian itu memerlukan pengambilan Nasopharyngeal (NPS) Swab oleh anggota yang terlatih dengan menggunakan alat pelindung diri (PPE) serta kelengkapan makmal ketika memproses sampel diambil.

"Manakala, ujian serologi RTK Antibodi yang menggunakan sampel darah dari hujung jari (finger prick) tidak boleh digunakan sebagai ujian pengesahan.

"Ini kerana kehadiran antibodi tidak dapat mengesahkan jangkitan semasa (active infection), keputusan antibodi negatif pula tidak menjamin individu yang diuji tidak dijangkiti Covid-19," katanya ketika sidang media harian Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Bagaimanapun, Dr Noor Hisham berkata, RTK Antibodi boleh digunakan bagi tujuan pelaksanaan kajian prevalen jangkitan Covid-19 dalam masyarakat atau kumpulan sasar seperti kumpulan pekerja.

"Ini selari dengan saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang mana RTK antibodi boleh digunakan dalam aktiviti survelan dan kajian epidemiologi," katanya.

Beliau turut mengingatkan, buat masa ini tiada bukti kukuh kajian saintifik menunjukkan individu yang pulih daripada Covid-19 dan mempunyai antibodi terlindung daripada jangkitan kedua (second infection).

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: May 11, 2020 @ 5:19pm
    d