mutakhir

Tunggu laporan JPV isu Covid-19 merebak ke makanan

Oleh Shamran Sarahan

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) masih menunggu keputusan laporan sama ada terdapat kes virus Covid-19 merebak kepada makanan di pasar basah.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, keputusan laporan berkenaan membabitkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV).

Katanya, bagaimanapun setakat ini, tiada kes virus dikesan merebak di barangan makanan.

"Saya rasa ramai yang risau isu ini. Tetapi kalau ada pun virus (pada makanan), ia akan mati apabila dimasak dengan suhu yang tinggi. Tiada kes sedemikian pun setakat ini.

"Apa pun, KKM sedang menunggu laporan daripada JPV mengenai kajian jangkitan virus terhadap makanan terutamanya bahan mentah seperti ayam.

"Contohnya kes jangkitan yang berlaku di kilang ayam, kita masih menunggu laporan jabatan itu," katanya dalam sidang media di KKM, Putrajaya, hari ini.

Dr Noor Hisham memberikan reaksi mengenai kebimbangan orang ramai terhadap kes positif membabitkan peniaga dan pengunjung pasar basah sejak kebelakangan ini.

Antara pasar basah terbabit ialah di Chow Kit, Selayang, Taman Megah, Seremban dan Bahau selain Jalan Othman, Petaling Jaya.

Mengulas lanjut, katanya, tidak semua makanan perlu dijemur sebagaimana dilakukan segelintir masyarakat.

"Tak semestinya jemur. Bergantung kepada makanan dibeli sebab tak semua makanan boleh dijemur," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: May 11, 2020 @ 5:48pm
    d