mutakhir

10 kes baharu Sabah, kes import

Oleh Abdul Rahemang Taiming

SEMUA 10 kes baharu Covid-19 di Sabah, semalam, adalah kes import kerana mendapat jangkitan wabak itu di luar negeri itu.

Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Christina Rundi berkata, daripada jumlah itu, tujuh sampel diambil di pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu dan Tawau.

Katanya, tiga lagi kes dikesan melalui lapangan terbang Sandakan.

"Kesemua kes ini sudah diberi Borang Annex 14 iaitu perintah untuk menjalani Home Quarantine namun siasatan awal mendapati sebahagian besarnya mengingkari perintah ini dan menyebabkan bilangan kontak terdekat yang perlu disiasat bertambah.

"Daripada jumlah itu, dua kes membabitkan pelajar selain satu kes seorang kanak-kanak, manakala selebihnya adalah rakyat Sabah yang bekerja di Semenanjung," katanya menerusi kenyataan.

Jelas Christina lagi, siasatan ke atas kontak rapat sedang giat dijalankan.

Bagaimanapun katanya, peningkatan kes secara mendadak itu mengundang pelbagai reaksi dan komen di media sosial.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi termasuk menularkan butiran peribadi individu berkenaan kerana dikhuatiri boleh menimbulkan stigma terhadap pesakit Covid-19.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan bahawa Borang Pengisytiharan Kesihatan Kemasukan Ke Sabah perlu diisi dengan lengkap dan jujur.

"Sekiranya didapati maklumat yang diberikan adalah palsu atau tidak lengkap, tindakan boleh di ambil di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342)," tegasnya.

Disiarkan pada: May 12, 2020 @ 8:22am
d