mutakhir

Nasib baik 'makan pujuk'

Oleh Zuliaty Zulkiffli

WANITA nekad mahu terjun dari tingkat lima sebuah rumah flat di Taman Setia Jaya, Jalan Langgar, Alor Setar, kerana dipercayai mempunyai masalah peribadi.

Bagaimanapun, dia bernasib baik kerana "termakan" dengan pujukan bomba.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, anggotanya berjaya menenangkan wanita berusia 20-an itu dan memujuknya supaya tidak terjun.

Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 10.20 malam dan sepasukan anggotanya dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Mohd Fisol Abdul Kadir, tiba tidak lama kemudian.

"Seramai 10 anggota menyertai operasi itu dan selepas 10 minit, usaha memujuk wanita itu berjaya dilakukan walaupun pada mulanya dia bertindak agresif.

"Wanita itu berjaya diselamatkan 10.48 malam dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohamadul Ehsan berkata, operasi tamat sepenuhnya jam 10.52 malam.

Disiarkan pada: May 12, 2020 @ 9:26am
d