mutakhir

Covid-19: Saringan pandu lalu di Masjid Tanah

Oleh Hassan Omar

PEJABAT Kesihatan Alor Gajah hari ini mengarahkan sesiapa mempunyai gejala demam, selsema atau sakit tekak, selain kontak rapat dengan individu positif Covid-19 atau berada di lokasi ada risiko dijangkiti wabak itu, menjalani saringan kesihatan secara pandu lalu.

Saringan diadakan dari 9 pagi hingga 12 tengah hari mulai hari ini hingga 19 Mei ini di Klinik Kesihatan Masjid Tanah, bagi mengenal pasti mereka berisiko dijangkiti wabak berbahaya itu.

Dalam kenyataannya, jabatan berkenaan berkata, sesiapa yang mempunyai gejala itu harus membuat temu janji melalui aplikasi WhatsApp ke nombor 019-6312213 sebelum diberikan masa dan tarikh untuk menjalani saringan.

Sementara itu, tinjauan di klinik berkenaan mendapati, kereta mereka yang menjalani saringan berbaris panjang sejak 8 pagi meskipun saringan dimulakan pada 9 pagi.

Sekurang-kurangnya tujuh doktor dibantu beberapa jururawat mengambil bacaan suhu badan dan air hidung pemandu di perkarangan klinik berkenaan serta memberikan dokumen tertentu kepada pemandu sebelum mereka beredar.

Seorang petugas klinik berkenaan yang enggan dikenali berkata, saringan diadakan secara pandu lalu bagi mengelakkan kesesakan teruk di dalam dan perkarangan klinik jika saringan secara konvensional dibuat.

"Hanya mereka sudah membuat temujanji diperiksa dan ia akan berlanjutan hingga 19 Mei ini," katanya.

Sementara itu, difahamkan saringan itu diadakan khusus untuk mereka yang pernah mengunjungi sebuah pasar raya di pekan Masjid Tanah dari 24 April lalu hingga 3 Mei lalu selepas seorang juruwang wanita pasar raya itu disahkan positif Covid-19.

Jabatan Kesihatan negeri sudah mengarahkan pasar raya itu menghentikan operasi dari 4 Mei lalu hingga 17 Mei ini.

Juruwang terbabit sudah dibawa ke Hospital Melaka pada Sabtu lalu.

Difahamkan juruwang terbabit adalah seorang daripada kira-kira 150 kakitangan pasar raya itu yang menjalani saringan di klinik berkenaan pada 5 Mei lalu.

Saringan terhadap kakitangan pasar raya itu dilakukan selepas seorang wanita berusia 42 tahun dan seorang remaja lelaki berusia 20 tahun yang positif Covid-19 menjelaskan kepada Jabatan Kesihatan negeri, mereka pernah mengunjungi pasar raya berkenaan antara 24 April lalu hingga 3 Mei lalu.

Wanita dan remaja terbabit adalah penghuni sebuah pusat pengajian agama di Kampung Pulau Semut, Solok Duku, Masjid Tanah.

Berikutan itu, seramai 86 penghuni pusat berkenaan dibawa ke Pusat Kuarantin Covid-19 Melaka di Pusat Kecemerlangan Kejuruteraan dan Teknologi (CReATE) Jabatan Kerja Raya di Alor Gajah bagi menjalani proses kuarantin berpusat.

Seramai 19 lagi penghuni pusat berkenaan menjalani proses kuarantin dalam pusat itu dengan enam daripada mereka perempuan dewasa, selain kanak-kanak perempuan (tiga) dan kanak-kanak lelaki (10).

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: May 12, 2020 @ 11:20am
    d