mutakhir

Penarik beca dapat wang ehsan

Oleh Zuhainy Zulkiffli

HAMPIR 200 penarik beca di Pulau Pinang boleh menarik nafas lega apabila menerima sumbangan wang ehsan sebanyak RM600 seorang daripada kerajaan negeri.

Penarik beca Mohd Jalri Ahmad, 52, berkata dia bersyukur kerana keluhan mereka yang kehilangan mata pencarian ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diberi perhatian.

Menurutnya, berikutan tiada pelanggan, dia terpaksa bekerja sebagai nelayan di perairan berhampiran Teluk Bahang dengan upah kira-kira RM60 sehari bagi menampung perbelanjaan dapur.

Katanya, wang itu digunakan bagi menampung perbelanjaan hariannya bersama isteri dan tiga anak berusia 13, 16 dan 17 tahun.

"Umum mengetahui pendapatan sebagai penarik beca bergantung kepada kunjungan pelancong dan dapatlah upah sehingga RM100 sehari, jadi bila tiada pelancong, memang kami tiada pendapatan.

"Saya berharap supaya semua penerima menggunakan sumbangan ini dengan sebaiknya kerana kita tidak tahu bila semua ini akan berakhir," katanya ketika ditemui, hari ini.

Majlis penyerahan wang ehsan berkenaan dilakukan di perkarangan Pejabat Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di Georgetown, hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Seni, Budaya dan Warisan (PETACH) Pulau Pinang Yeoh Soon Hin berkata, pihaknya akan memastikan tiada golongan yang tertinggal daripada menerima sumbangan.

Katanya, selain itu pihaknya juga merancang melakukan tranformasi terhadap pengangkutan ikonik itu supaya lebih menarik seiring dengan peredaran masa.

"Kita akan turut fokus mendidik mereka supaya mengamalkan kebersihan (selepas mengambil penumpang) terutama bila berhadapan dengan pandemik Covid-19 ini.

"Diharap dengan perancangan itu nanti akan menarik lebih ramai pengunjung selain menjadikan perkhidmatan beca yang bersih, selamat dan menarik," katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan mengenai keluhan penarik beca di sekitar Lebuh Armenian, Georgetown yang tidak dapat menjana pendapatan sepanjang PKP.

Keadaan itu berterusan walaupun Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) diperkenalkan kerana kebimbangan org ramai untuk melancong dan menggunakan perkhidmatan beca.

Disiarkan pada: May 12, 2020 @ 2:36pm
d