mutakhir

Kerajaan negeri Kedah baharu boleh dibentuk...

Oleh M Hifzuddin Ikhsan dan Nor Farhani Che Ad

PERIKATAN Nasional (PN) Kedah kini mempunyai majoriti mudah bagi membentuk kerajaan negeri baharu susulan perletakan jawatan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR, hari ini.

Pengumuman ADUN Lunas, Azman Nasrudin dan ADUN Sidam, Dr Robert Ling Kui Ee yang menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadikan PN memiliki 19 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah.

Azman pada sidang media bersama Dr Robert, memaklumkan mereka hilang kepercayaan kepada kepimpinan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang menyebabkan parti itu kini berpecah-belah.

Katanya, PKR yang sebelum ini memperjuangkan keadilan bagi rakyat kini bertukar menjadi parti yang hanya memperjuangkan Anwar menjadi Perdana Menteri dan keluarganya sahaja.

"Selepas melihat pelbagai kepincangan, kami mengambil keputusan keluar parti dan bukan lagi menjadi ADUN mewakili PKR dan kini menjadi ADUN Bebas mesra kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

"Kami juga menyokong penuh Perdana Menteri bagi memimpin negara dan memberi kepercayaan kepada PN di Pusat dan negeri bagi menjaga rakyat," katanya pada sidang media di Pusat Khidmat DUN Sidam di Sungai Petani, hari ini.

Azman berkata, beliau dan Dr Robert juga tidak menolak kemungkinan menyertai mana-mana parti baharu termasuk Bersatu pada masa hadapan.

"Keputusan kami ini sudah dibincangkan bersama Muhyiddin dan Datuk Seri Azmin Ali dengan kami perlu bergerak ke hadapan supaya pentadbiran negeri berjalan lancar.

"Petang ini kami akan menyatakan sokongan terbuka kepada PN di Kedah bagi membolehkan kerajaan negeri baharu ditubuhkan dalam tempoh terdekat," katanya.

Ditanya kemungkinan ada lagi ADUN PKR meninggalkan parti itu, beliau memaklumkan setakat ini hanya mereka sahaja berbuat demikian, namun terdapat ramai ahli dijangka meninggalkan PKR tidak lama lagi.

Petang ini, PN Kedah dijadual mengadakan sidang media di Kompleks PAS Kedah di Alor Setar bagi mengumumkan pembentukan kerajaan negeri baharu.

Disiarkan pada: May 12, 2020 @ 2:57pm
d