mutakhir

Jangan buat kecoh

Oleh Omar Ahmad

AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) diingatkan menjaga tata tertib ketika Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Khamis ini.

Speaker DUN, Suhaizan Kaiyat berkata, ahli dewan juga diingatkan tidak melakukan sebarang provokasi ketika persidangan berlangsung.

Katanya, sidang dijangka dirasmikan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar.

"Saya fikir benda itu (kekecohan) tidak akan berlaku sebab baginda Tuanku selalu menyebut berkenaan sikap ahli dewan dan sangat menekankan ketertiban dalam dewan.

"Setiap kali perasmian persidangan ingatan ini selalu dikemukakan, jadi saya rasa semua pihak akan mengambil maklum perkara ini dan penelitian tinggi serta tidak melakukan sebarang kekecohan," katanya ketika ditemui pemberita di Kota Iskandar, hari ini.

Menyentuh mengenai tatacara ketika majlis berlangsung, Suhaizan memaklumkan kedudukan ahli dewan akan dijarakkan, selaras saranan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk penjarakan sosial.

Semua ahli dewan juga akan menjalani pemeriksaan seperti yang terkandung dalam prosedur operasi standard (SOP) KKM sebelum masuk ke dewan.

Disiarkan pada: May 12, 2020 @ 3:18pm
d