mutakhir

26 notis penutupan

Oleh Nurul Amanina Suhaini

SEBANYAK 26 notis penutupan dikeluarkan ke atas premis yang gagal mengamalkan langkah-langkah kawalan dan pencegahan penularan wabak Covid-19 di Johor.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R Vidyanathan berkata, notis penutupan itu dikeluarkan mengikut Seksyen 18(1)(f), Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 iaitu tidak mengamalkan langkah seperti penjarakan sosial dan pemantauan saringan kesihatan di pintu masuk premis.

Katanya, operasi Penguatkuasaan Pencegahan Covid-19 Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) (Ops PKPB) dijalankan sejak 4 Mei lalu di seluruh negeri ini dan sehingga 10 Mei, sebanyak 2,218 premis diperiksa.

"Sebanyak 162 notis amaran dikeluarkan kerana gagal mematuhi arahan Peraturan 11, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No.5) 2020.

"Operasi dijalankan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu katanya, sehingga kini, sebanyak 32 panggilan diterima oleh Bilik Gerakan Perkhidmatan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial (MHPSS) Johor sejak ia memulakan operasinya pada 19 April lalu.

"Panggilan yang diterima kebanyakannya adalah soalan berkenaan maklumat prosedur stesen kuarantin seperti tempoh kuarantin dan saringan Covid-19.

Disiarkan pada: May 12, 2020 @ 6:07pm
d