mutakhir

Gelandangan di Kuantan dapat kerja

Oleh Mohd Rafi Mamat

MAJLIS Perbandaran Kuantan (MPK) menyediakan pekerjaan kepada 28 gelandangan yang kini ditempatkan di Pusat Gelandangan Sementara (PGS) Alor Akar, Kuantan.

Yang Dipertuanya Datuk Hamdan Hussin berkata, semua gelandangan berkenaan diselamatkan pada Operasi Selamatkan Gelandangan dari Covid-19 di bandar ini yang dilakukan secara berperingkat sejak bulan lalu.

Namun menurutnya, jumlah gelandangan yang ditempatkan pusat berkenaan semakin berkurangan selepas program serahan kepada keluarga mereka dilakukan dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang.

Katanya, hanya gelandangan sihat dan muda serta berminat sahaja ditawarkan bekerja sambilan dengan MPK yang lebih kepada aktiviti riadah pada hari tertentu sahaja setiap minggu.

"Golongan terbabit diberikan tugas yang sesuai di tapak semaian MPK di Taman Teruntum, antaranya menyiram, menyemai, menabung dan menyapu sampah.

"Aktiviti yang dilakukan lebih kepada riadah sambil mengisi masa lapang mereka, semua kemudahan termasuk pengangkutan disediakan MPK," katanya hari ini.

Hamdan berkata, bantuan diberikan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Dapur Infaq Ummah yang menyediakan makanan setiap hari dibantu sukarelawan Jabatan Amal Malaysia (JAM) Pahang melancarkan lagi pengurusan PGS.

Katanya, cadangan menyediakan pusat gelandangan khas di daerah diharap menjadi kenyataan satu hari nanti selepas ia mendapat maklum balas baik kerajaan negeri dan beberapa agensi seperti JKM Pahang serta Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP).

"Kita ingin memastikan nasib gelandangan di bandar ini terbela, tinggal di bawah satu bumbung dan menerima pelbagai kemudahan. Mereka boleh bekerja waktu siang dan malam pulang ke pusat gelandangan.

"Sekiranya tidak dibantu, nasib gelandangan akan terus terabai, kita juga mempelawa syarikat swasta untuk menerima golongan terbabit bekerja dengan mereka," katanya yang ingin melihat bandar Kuantan bebas gelandangan.

KUANTAN 12 MAY 2020..

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) Datuk Hamdan Hussin melawat gelandangan yang ditempatkan di Pusat Gelandangan Sementara (PGS) Alor Akar.STR/MOHD RAFI MAMAT.

Disiarkan pada: May 12, 2020 @ 6:26pm
d