mutakhir

Covid-19 terhapus, hadiah paling bermakna Hari Jururawat

Oleh Amir Abd Hamid

RATA-rata jururawat di seluruh negara menyifatkan hadiah paling bermakna untuk sambutan Hari Jururawat Sedunia 2020 adalah terhapusnya Covid-19.

Sejak virus pandemik berkenaan menular ke negara ini jururawat antara barisan hadapan dan belakang tabir terbabit secara langsung tanpa mengira masa memeranginya.

Jururawat di Klinik Dermatologi Hospital Sungai Buloh (HSB) Noor Hayza Abd Hamid, 43, berkata harapannya ketika ini ialah Covid-19 segera terhapus.

"Terima kasih menghargai kami. Harapan sebagai jururawat, semoga Covid-19 ini cepatlah habis.

"Saya dengan pesakit Covid-19 bukanlah barisan hadapan sekali. Pakai sut peralatan perlindungan diri (PPE) pun hanya pada Khamis dan Jumaat.

"Ini kerana setiap Khamis dan Jumaat ada klinik Covid-19 untuk pesakit sudah sihat serta dibenarkan keluar dari wad sebelum ini ada temujanji pertemuan susulan dengan pihak hospital," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurutnya, tugasnya termasuk melakukan semula 'swab test' atau ujian calitan tekak terhadap bekas pesakit Covid-19 yang hadir temujanji itu.

Noor Hayza berkata, bekas pesakit perlu hadir di klinik itu untuk pemeriksaan semula sebagai langkah pencegahan mereka tidak dijangkiti semula atau menjadi pembawa virus itu.

"Kita buat pemeriksaan serta ujian semula di hidung dan tekak bekas pesakit itu bagi memastikan tidak berlakunya jangkitan berulang.

"Balik rumah saya tak peluk anak-anak hinggakan mereka cakap 'Ibu ini tak sayang kita dah...', memang sedih namun mesti tabah," katanya.

Hakikatnya, beliau berkata disebabkan sayanglah dia tidak memeluk mereka iaitu Amanina, 16; Adam Fitri, 13, dan Atikah, 9, hasil perkongsian hidup dengan suaminya Muhammad Isa Wahab, 48.

Menurutnya, klinik susulan di Hospital Sungai Buloh untuk Covid-19 dibuka antara jam 8 pagi hingga 5 petang pada hari Khamis dan Jumaat itu biasanya menerima sekitar 40 pesakit sehari.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) amat menghargai semua jururawat di negara ini.

"Sesuai dengan tema Hari Jururawat Sedunia 2020, 'A Voice to Lead : Nursing The World To Health', golongan jururawat adalah pelengkap sektor kesihatan.

"Jururawat adalah tulang belakang dan KKM amat menghargai jasa mereka. Semoga kita terus teguh dan kita mesti menang," katanya

Disiarkan pada: May 12, 2020 @ 6:34pm
d