mutakhir

65 petugas kesihatan KKM positif Covid-19

Oleh Shamran Sarahan

SERAMAI 65 petugas kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dikesan positif Covid-19 hasil saringan sehingga hari ini membabitkan 11,470 sampel.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pengesanan itu dilakukan melalui aktiviti survelan yang bertindak sebagai sistem amaran awal (early warning) dan pengesanan awal (early detection) bagi jangkitan Covid-19 di Malaysia.

Beliau berkata, selain saringan Covid-19 bagi anggota kesihatan KKM, aktiviti survelan itu juga merangkumi survelan klinikal melalui pengesanan dan persampelan kes Influenza Like Illness (ILI) dan kes Severe Acute Respiratory Infection (SARI) dengan 81 sampel disahkan positif.

Katanya, survelan juga termasuk saringan pesakit sebelum menjalani pembedahan kecemasan dan separa kecemasan di hospital KKM yang merekodkan tujuh sampel disahkan positif jangkitan wabak itu.

"KKM juga menjalankan analisa survelan pasif, merangkumi notifikasi diterima di Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) bagi kes yang dikesan sebagai Pesakit Di bawah Siasatan (PUI) daripada fasiliti KKM dan swasta.

"Setakat ini, 95 kes positif dikesan daripada 30,155 ujian yang dijalankan di makmal swasta ini, iaitu 0.32 peratus," katanya pada sidang media harian perkembangan terkini Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, aktiviti survelan di negara ini dipergiatkan dengan proaktif dan banyak ujian makmal dijalankan.

Katanya, kadar positif jangkitan wabak itu yang dikesan melalui aktiviti survelan menurun dan kekal rendah buat masa ini.

"Bagaimanapun KKM menyeru supaya masyarakat tidak leka dengan trend penurunan ini.

"Sekali lagi, KKM ingin menekankan bahawa kepatuhan orang ramai kepada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), kelaziman dan norma baharu adalah amat penting dalam menentukan kadar kes positif Covid-19 di Malaysia sama ada meningkat atau menurun," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: May 12, 2020 @ 6:41pm
    d