mutakhir

Kes sporadik berkurangan [METROTV]

Oleh Shamran Sarahan

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati kes sporadik semakin berkurangan di seluruh negara.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Datuk Dr Noorhisham Abdullah berkata, pihaknya juga akan memperluaskan lagi pengesanan kes sporadik di klinik di seluruh negara.

"Oleh itu, kita dapat memantau dan mengesan mereka lebih awal.

"Kepatuhan individu atau majikan yang menjalankan saringan adalah baik dapat kenal pasti kes sporadik.

"Dan kalau mereka boleh mengesan kes positif Covid-19 ke atas pekerja, jadi kita boleh asingkan dan diberi rawatan awal.

"Jika kita lihat saringan yang dilaksanakan dalam 1,000 kes, kes yang positif sangat rendah antara 0.1 ke 0.2 peratus," katanya pada sidang media di Putrajaya di sini, hari ini.

Selain itu, beliau berkata warga asing yang sudah disaring setakat ini seramai 25,156 individu.

Menurutnya, daripada jumlah itu yang didapati positif Covid-19 adalah seramai 1,211 bersamaan 4.8 peratus.

"Dan daripada jumlah terbabit dalam rawatan di hospital membabitkan seramai 495 orang iaitu 40.9 peratus dan ada tiga kes yang sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) iaitu 0.6 peratus

"Manakala mereka yang telah pulih sepenuhnya ialah 712 orang bersamaan 58.8 peratus dan juga membabitkan empat kematian bukan warganegara setakat ini," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: May 12, 2020 @ 7:12pm
    d