mutakhir

1,500 liter petrol sedia diseludup ke Thailand

Oleh Siti Rohana Idris

SEJUMLAH 1,500 liter petrol dalam 60 tong ditemui di sebuah rumah kosong tidak berpenghuni di Kampung Renab, Bukit Bunga di sini, 3.45 petang tadi.

Serbuan dijalankan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Cawangan Tanah Merah bersama Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM).

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Daerah Tanah Merah Ahmad Azizi Abdul Kadir berkata, rumah kosong itu dijadikan lokasi transit menyimpan petrol bersubsidi sebelum diseludup ke Thailand.

"Serbuan dibuat hasil risikan. Kami turut menemui seunit pam yang digunakan untuk menyedut minyak.

"Tiada tangkapan dibuat dan nilai rampasan ialah RM1,875," katanya pada kenyataan.

Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana disyaki dengan niat melakukan penyeludupan barang kawalan ke negara jiran.

Disiarkan pada: May 12, 2020 @ 8:55pm
d