mutakhir

Belasah isteri sedang sambut Hari Ibu

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

HASRAT seorang wanita menyambut Hari Ibu bersama anak dan rakan-rakan wanitanya yang lain di kediamannya di Bandar Country Homes, Rawang, dekat Gombak, bertukar tragedi apabila dia cedera dibelasah suaminya yang mabuk, semalam.

Dalam kejadian jam 11 malam itu, suri rumah berusia 37 tahun dilapor yang sedang berkumpul untuk menyambut Hari Ibu sebelum didatangi suaminya berusia 39 tahun yang mengajaknya untuk berbincang.

Menurut sumber, suspek tiba-tiba menampar dan menumbuk muka serta mencekik mangsa menyebabkan rakan anaknya yang turut berada di dalam rumah itu menjerit ketakutan.

"Rakan wanita mangsa cuba tenangkan suspek namun tidak diendahkan dan mereka dihalau suspek supaya meninggalkan rumah itu.

"Selepas memukul dan memaki hamun isterinya, suspek kemudian masuk semula ke dalam biliknya," katanya.

Sumber berkata, 20 minit kemudian suspek keluar semula dan sekali lagi mengamuk sebelum memecahkan pintu tandas serta mengugut mangsa dengan gunting untuk menikamnya.

"Mangsa yang ketakutan turut merakam perbuatan suaminya menggunakan telefon bimbit menyebabkan suspek bertambah berang. Suspek dilapor menyerang mangsa sekali lagi sebelum merampas telefon itu dan memecahkannya.

"Wanita malang itu terselamat apabila ahli keluarganya bergegas ke rumah itu sebelum berjaya tenangkan suspek. Polis yang menerima laporan berhubung kejadian itu dilaporkan tiba tidak lama kemudian," katanya.

Katanya, mangsa yang bimbang dengan keselamatan diri selepas cedera di mulut dan lebam di badan tampil membuat laporan di Balai Polis Rawang untuk tindakan selanjutnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

"Suspek sudah ditahan dan direman tiga hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan serta 506 Kanun Keseksaan," katanya.

Disiarkan pada: May 12, 2020 @ 9:07pm
d