mutakhir

Pesara TLDM maut kemalangan

Oleh Recqueal Raimi

SEORANG pesara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh kereta Perodua Bezza yang memasuki laluan bertentangan di Jalan Kota Belud - Kota Marudu, Kampung Pandasan di Kota Belud, petang hari ini.

Dalam kejadian 4.30 petang itu, mangsa, Yusof Abd Amit, 41, berasal Kampung Tajau, Tuaran, yang menunggang motosikal Yamaha 15ZR disahkan meninggal dunia akibat parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Mohd Zaidi Abdullah berkata, siasatan awal mendapati pemandu kereta, lelaki berusia 31 tahun memandu dari arah Kota Kinabalu menghala Kota Marudu.

"Sebaik tiba di lokasi, pemandu hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan secara melintang lalu menyebabkan mangsa merempuh bahagian pintu kiri kereta terbabit.

"Akibat insiden itu, kedua-dua kenderaan terbabas di parit pada bahu kiri jalan menyebabkan mangsa maut dalam keadaan tertiarap di parit," katanya pada media, hari ini.

Beliau berkata, pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan manakala ketika kemalangan cuaca tidak hujan serta keadaan jalan raya berturap tar.

"Setakat ini siasatan mendapati kemalangan berpunca daripada pemandu yang gagal mengawal kenderaan sehingga menyebabkan kematian.

"Bagaimanapun, siasatan kes diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 ," katanya.

Disiarkan pada: May 12, 2020 @ 11:09pm
d