mutakhir

Dua bot pukat tunda ditahan

Oleh Juwan Riduan

DUA bot pukat tunda ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) selepas didapati melanggar syarat sah lesen di barat laut Tanjung Simpang Mengayau, di Kudat, semalam.

Kedua-dua bot ditahan anggota PPM Kudat ketika sedang melakukan penugasan Op Covid-19 di kawasan berkenaan.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohammad Pajeri Ali berkata, kejadian pertama apabila pasukannya menahan sebuah bot pukat tunda kira-kira 9 pagi.

"Hasil pemeriksaan mendapati bot nelayan itu menjalankan aktiviti tidak mengikut syarat seperti yang tercatat di lesen perikanan iaitu di kawasan operasi di pantai timur.

"Seorang juragan lelaki berusia 40 tahun berada di atas bot berkenaan. Jumlah rampasan ikan bernilai RM2,000 dan kompaun dikenakan sebanyak RM500," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mohammad Pajeri berkata, tangkapan kedua bot pukat tunda di lokasi sama, 10.30 pagi hari sama.

"Bot itu turut melakukan kesalahan sama dan terdapat juragan berusia 36 tahun berada di atas bot berkenaan.

"Nilai rampasan dan kompaun pada tangkapan kedua sebanyak RM800," katanya.

Menurutnya, kedua-dua bot pukat tunda ditahan dan diserahkan kepada pegawai penyiasat Jabatan Perikanan Kudat.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 iaitu melanggar syarat lesen," katanya.

Disiarkan pada: May 13, 2020 @ 9:08am
d