mutakhir

Cadang ujian Covid-19 di semua klinik swasta

Oleh Yusmizal Dolah Aling

KERAJAAN perlu mempertimbangkan kebenaran kepada semua klinik swasta menjalankan ujian saringan Covid-19 berbanding hanya panel tertentu ketika ini.

Biro Media Persatuan Doktor Islam Malaysia (Perdim) Dr Norzaidi Zakaria berkata, cadangan berkenaan juga meliputi kerjasama antara semua klinik berkenaan dengan makmal yang berhampiran untuk memudahkan urusan.

Katanya, bagi sampel swab hidung, ia juga boleh dihantar ke makmal lain yang berdekatan dan ia bukan sahaja menjimatkan masa, malah memberi kemudahan kepada mereka yang ingin membuat ujian saringan.

"Perdim juga mencadangkan supaya kos ini dibayar terus oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kepada klinik berkenaan.

"Cara bayaran seperti ini akan membolehkan klinik memilih sampel untuk dihantar ke makmal terdekat bagi mendapatkan keputusan dengan kadar segera," katanya.

Dr Norzaidi berkata, Prosedur Operasi Standard (SOP) ketika ini memerlukan pekerja yang ingin memulakan pekerjaan perlu mengikuti saringan Covid-19 di bawah Program Saringan Prihatin yang dibiaya Perkeso.

Menurutnya, klinik swasta yang bersetuju menyertai program ini akan menyelia prosedur mengambil sampel swab dengan kit disediakan sebuah makmal.

"Jika semua klinik swasta dibenarkan melakukan saringan, saya rasa ia akan menyelesaikan masalah bagaimana makmal berkenaan untuk mengendalikannya dalam jumlah yang besar.

"Ia juga untuk mengelakkan adanya pihak ketiga atau ejen yang mengaut keuntungan dengan mencari pencarum secara kolektif untuk menjalani saringan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: May 13, 2020 @ 2:11pm
    d