mutakhir

Jalan Nanga Buai Melanjan runtuh

Oleh Melvin Joni

PEMBETUNG yang tersumbat dengan pokok besar selain tekanan kuat hujan yang melanda menyebabkan Jalan Nanga Buai Melanjan, Padeh di Betong, runtuh semalam.

Jurucakap Ibu Pejabat Polis Daerah Betong berkata, kejadian berlaku jam 6.40 pagi selepas ia disedari penduduk kampung berhampiran.

"Pembetung di bawah jalan berkenaan mengalirkan air dari Sungai Sibau.

"Akibat tersumbat dengan pokok, air sungai berkenaan melimpah dan tekanan air semakin kuat disebabkan hujan lebat menyebabkan jalan itu runtuh," katanya pada kenyataan hari ini.

Menurut jurucakap, jalan itu terputus sejauh kira-kira 20 meter dan mendap sedalam kira-kira sembilan meter.

Sementara, Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Betong memaklumkan jalan berkenaan akan dibaik pulih serta merta.

"Kejadian juga tidak membabitkan kehilangan harta benda dan nyawa.

"Bagaimanapun, penduduk berhampiran masih boleh melalui Sungai Sibau dan keluar di Stesen Pertanian Betong," katanya.

Disiarkan pada: May 13, 2020 @ 2:30pm
d