mutakhir

OKU cacat penglihatan sertai World Quran Hour [METROTV]

Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli

LIMA ahli Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) Terengganu turut menjayakan program World Quran Hour (WQH) edisi 2020 yang dijalankan serentak di seluruh dunia, hari ini.

Mereka memulakan bacaan pada 11.30 pagi dengan mengalunkan bacaan surah Ar-Rahman serentak menggunakan al-Quran Braille.

Mohd Imranfaisal Zulkifli, 36, dari Kampung Padang Air berkata, dia teruja dan bertuah apabila terpilih menyertai WQH pada Ramadan kali ini.

"Saya belajar membaca al-Quran Braille sejak 2014 dan mengambil masa lebih enam bulan untuk menguasainya.

"Sekarang sudah boleh baca, tetapi belum lancar lagi dan perlu terus belajar supaya lebih mahir," katanya ketika di temui pada Program WQH di Pejabat PERTIS, Kuala Nerus, hari ini.

Katanya, dia hilang penglihatan sejak 2012 selepas terbabit dalam kemalangan.

"Lebih setahun saya hilang semangat dan kemurungan kerana kejadian itu dan hanya berkurung di rumah.

"Tetapi sejak menyertai kelas mengaji al-Quran Braille saya kembali bersemangat, malah saya sudah mendirikan rumah tangga dengan rakan yang turut mengalami masalah penglihatan," katanya.

Sementara, Nai'mah Mansor, 59, dari Kampung Teluk Ketapang berkata, walaupun mengalami masalah penglihatan namun ia bukan penghalang buatnya untuk belajar al-Quran dan menyertai WQH.

"Saya berasa teruja kerana berpeluang menjayakan WQH dengan harapan ia mendapat keberkatan dan ganjaran daripada Allah.

"Jika dianjurkan lagi tahun hadapan saya bersedia untuk menjayakannya lagi," katanya.

Sementara itu, Pengerusi PERTIS Wilayah Terengganu Mohd Fauzi Mansor berkata, pihaknya terpanggil untuk menjayakan WQH kerana mempunyai ahli yang boleh membaca al-Quran.

"Ramai yang hendak menyertainya tetapi kerana Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), penyertaan terpaksa dihadkan dan hanya memilih lima orang terdekat sahaja.

"Sebelum ini PERTIS sudah beberapa kali menyertai WQH itu tetapi berbeza pada kali ini kerana penyertaan tidak ramai," katanya.

Disiarkan pada: May 13, 2020 @ 2:57pm
d