mutakhir

Reman 4 suspek kes palsu dokumen bayi disambung

Oleh Dziyaul Afnan Abdul Rahman

EMPAT daripada tujuh individu yang disyaki terbabit dalam pemalsuan dokumen kelahiran dan pemindahan milikan terhadap seorang bayi lelaki berusia tiga bulan pada 5 Mei lalu di Arau disambung reman sehingga 16 Mei ini.

Perintah itu dikeluarkan oleh Majistret Kamaliza Md Zain ke atas semua suspek termasuk ibu kandung bayi berusia antara 30 hingga 56 tahun di Kompleks Mahkamah Kangar, hari ini.

Bagaimanapun, suami isteri berusia 36 tahun yang juga keluarga angkat bayi terbabit dibebaskan dengan jaminan polis semalam, manakala doktor lelaki sebuah klinik swasta dibebaskan, hari ini.

Ini berikutan Kamaliza menolak permohonan lanjutan reman terhadapnya atas alasan tertentu.

Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan akan membuat tangkapan lain bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 48(2) Akta Kanak-kanak 2001.

"Kes ini masih dalam siasatan pihak polis, kita masih ada siasatan penting dan tidak menolak kemungkinan ada tangkapan lain yang akan dilakukan.

"Saya akan maklumkan dalam sidang media nanti apabila siasatan sudah lengkap," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sejak Jumaat lalu, polis menahan tujuh individu termasuk suami isteri kerana terbabit dalam pemalsuan dokumen kelahiran dan pemindahan milikan terhadap bayi lelaki terbabit.

Tangkapan terbaru dilakukan ke atas doktor terbabit yang juga pakar sakit puan di Alor Setar pada Ahad lalu.

Disiarkan pada: May 13, 2020 @ 3:07pm
d