mutakhir

Belia dan Bomba bantu bersih rumah

Oleh Adnan Ibrahim

MAJLIS Belia Daerah Kluang (MBDK) dan Pasukan Bomba dan Penyelamat Kluang berganding bahu membantu membersihkan rumah penduduk kampung yang terjejas akibat banjir kilat malam tadi.

Untuk tujuan itu, 18 sukarelawan dari MBDK serta tujuh anggota pasukan Bomba dan Penyelamat Kluang bersengkang mata sehingga jam 1 pagi tadi bagi melakukan bantuan khidmat kepada tujuh buah rumah di Lorong 6, Jalan Dahlia, Kampung Melayu dekat sini.

Yang Dipertua MBDK, Abdul Halim Mohd Dom berkata, kerja-kerja bantuan khidmat berkenaan dilakukan selepas penghuni di kawasan berkenaan menghubungi pihaknya bagi mendapatkan pertolongan selepas kediaman mereka dimasuki air berlumpur ketika banjir kilat yang bermula kira-kira jam 7 malam tadi.

Katanya, pihaknya memulakan kerja pembersihan bermula jam 10 malam selepas air surut kira-kira jam 9.40 malam dan semua rumah siap dibersihkan sepenuhnya pada jam 1 pagi.

"Tujuh buah rumah di Kampung Melayu ini tidak termasuk 18 buah rumah yang dipindahkan ke Pusat Penempatan Sementara (PPS) malam tadi dan mereka tidak berpindah kerana air masuk ke dalam rumah hanya dalam tempoh dua jam saja.

"Memandangkan keadaan cuaca yang tidak menentu ini, pihak MBDK sentiasa bersiap sedia untuk memberikan bantuan khidmat kepada penduduk yang memerlukan," katanya.

Abdul Halim berkata demikian selepas kerja-kerja pembersihan di rumah milik Hasnah Ahmad yang dimasuki air berlumpur di Lorong 6, Jalan Dahlia Kampung Melayu dekat sini, malam tadi.

Sementara itu, Hasnah Ahmad,69, yang juga ibu tunggal tidak menyangka hujan kira-kira dua jam itu boleh mengakibatkan banjir kilat di kediamannya.

"Lebih teruk air yang masuk bercampur lumpur dan ianya berbeza dengan kejadian yang berlaku sebelum ini, keadaan ini mungkin kerana kerja pembangunan di bahagian hulu Sungai Mengkibol ini," katanya."

Disiarkan pada: May 13, 2020 @ 3:53pm
d