mutakhir

12 syarikat serah zakat pada Sultan

Oleh Norzamira Che Noh

SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima bayaran zakat perniagaan berjumlah RM44.6 juta (RM44,582,431.12) daripada 12 syarikat korporat kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS) di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam, Selangor, hari ini.

LZS dalam kenyataan memaklumkan penyerahan bayaran zakat didahului oleh Lembaga Tabung Haji (TH) yang diwakili Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Nik Mohd Hasyudeen Yusoff dengan jumlah bayaran zakat perniagaan bagi tahun kewangan 2019 sebanyak RM24.19 juta (RM24,192,547.22).

Ia diikuti Central Sugars Refinery Sdn. Bhd yang diwakili oleh Pengerusi Eksekutif, Datuk Bakry Hamzah dengan jumlah zakat perniagaan sebanyak RM5 juta (RM5,011,191.65) bagi tahun kewangan 2018.

"Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) pula menunaikan zakat perniagaan bagi tahun kewangan 2019 berjumlah RM2.6 juta (RM2,662,963.62) yang diserahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Mohd Azizi Mohd Zain, dikuti Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) diwakili oleh Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif, Soffan Affendi Aminudin menyerahkan zakat perniagaan bagi tahun kewangan 2020 berjumlah RM2.4 juta (RM2,458,973.23).

"Kumpulan Worldwide Holdings Berhad menunaikan zakat perniagaan bagi tahun kewangan 2019 berjumlah RM2 juta (RM2,001,229) yang diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datin Paduka Norazlina Zakaria," katanya.

Jelas kenyataan itu lagi, Ekuiti Nasional Berhad yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutif, Syed Yasir Arafat Syed Abdul Kadir menyerahkan zakat perniagaan bagi tahun kewangan 2019 berjumlah RM1.7 juta (RM1,700,000).

Katanya, Kumpulan Perangsang Selangor Berhad menyerahkan zakat perniagaan berjumlah RM1.5 juta (RM1,520,000) bagi tahun kewangan 2019 yang disampaikan oleh Pengerusinya, Datuk Nor Azmie Diron, diikuti Malaysian Allied Health Sciences Academy Sdn Bhd yang diwakili oleh Pro-Canselor merangkap Pengerusi Eksekutif, Profesor Tan Sri Dr. Mohamed Haniffa Abdullah menyerahkan zakat perniagaan bagi tahun kewangan 2019 berjumlah RM1.3 juta (RM1,320,000).

"Bank Islam Malaysia Berhad diwakili oleh Tan Sri Ambrin Buang menunaikan zakat perniagaan bagi tahun kewangan 2019 berjumlah RM1.2 juta (RM1,211,000) diikuti Pengurus Besar Kumpulan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), Tamby Omar Mohammed yang menyerahkan zakat perniagaan bagi tahun kewangan 2019 berjumlah RM1 juta.

"Turut menunaikan zakat perniagaan Sime Darby Property Berhad bagi tahun kewangan 2019 berjumlah RM1 juta yang diserahkan oleh Pengarahnya, Tengku Datuk Seri Ahmad Shah Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

"Ia kemudian diikuti Kumpulan Semesta Sdn. Bhd. diwakili oleh Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif, Abdul Rahman Ishak yang menyerahkan zakat perniagaan bagi tahun kewangan 2019 berjumlah RM504,526.40," katanya.

Upacara penyerahan zakat turut dihadiri oleh Pengerusi LZS, Tan Sri Syed Anwar Syed Putra Jamalullail dan Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan M. Yusop.

Hadir sama Ketua Divisyen Kutipan, Mohd Sabirin Sarbini dan Ketua Divisyen Komunikasi Korporat, Datin Setia Norajun Ainun Mohd Hashim.

Disiarkan pada: May 13, 2020 @ 5:25pm
d