mutakhir

Tunggu keputusan Sultan Kedah

Oleh Noorazura Abdul Rahman

KERAJAAN negeri Kedah pimpinan Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Mahathir masih sah sehingga sekarang.

Penganalisis Politik dari Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Dr Ahmad Marthada Mohamed berkata, kedudukan kerajaan negeri ketika ini bergantung kepada keputusan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.

Katanya, usul undi tidak percaya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada masa ini tidak perlu berikutan Baginda mempunyai pilihan sama ada untuk menitah setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengadap dan menyatakan sokongan mereka.

"Contohnya seperti berlaku di Perak sebelum ini, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menitahkan semua ADUN menyatakan sokongan dan hanya gabungan parti yang mempunyai majoriti sahaja boleh membentuk kerajaan.

"Ataupun Tuanku menerima dan mempercayai akuan bersumpah (SD) yang dipersembahkan oleh pembangkang yang mendakwa sudah mempunyai SD yang ditandatangani 23 ADUN.

"Jika Tuanku rasa itu betul maka baginda boleh bersetuju untuk membentuk kerajaan baharu," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Terdahulu, Mukhriz hari ini menegaskan beliau masih memegang jawatan Menteri Besar dan kerajaan negeri pimpinannya masih beroperasi seperti biasa.

Semalam, Perikanan Nasional (PN) Kedah mengumumkan pembentukan kerajaan negeri baharu selepas mendapat sokongan 23 ADUN termasuk dari Bersatu.

Ketua Pembangkang, Muhammad Sanusi Md Nor dilaporkan berkata, 23 ADUN terbabit adalah 14 daripada PAS, Bersatu (empat), Umno (dua) dan dua bekas ADUN PKR.

Berikutan itu, komposisi DUN Kedah menyaksikan perubahan apabila PAS kini menguasai 15 kerusi, PKR (lima), AMANAH (empat), Bersatu-Tan Sri Muhyiddin Yassin (empat), Bersatu-Tun Dr Mahathir Mohamad (dua), Umno (dua) dan Bebas (dua).

Disiarkan pada: May 13, 2020 @ 5:47pm
d