mutakhir

Penerbangan ihsan bawa jenazah Allahyarham Konstabel Mohd Naim

Oleh Juwan Riduan

JENAZAH Konstabel Mohd Naim Ahmad Daud, 26, yang meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Putrajaya semalam, dibawa pulang ke Tawau dengan menggunakan penerbangan ihsan hari ini.

Terdahulu, Mohd Naim terbabit dalam kemalangan jalan raya di Jambatan Sri Saujana, Putrajaya, Khamis lalu menyebabkannya tidak sedarkan diri.

Penerbangan dilakukan dengan menggunakan pesawat Cessna Caravan CE208 9M-PSQ milik Pasukan Gerakan Udara (PGU) Pangkalan Sabah.

Komander PGU Sabah Asisten Komisioner Ahmad Lokman Abdul Hadi berkata, jenazah Allahyarham Mohd Naim tiba dari Kuala Lumpur di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) menggunakan pesawat komersial.

"Jenazah kemudiannya diterbangkan dari KKIA jam 12.30 tengah hari sebelum mendarat di Lapangan Terbang Tawau, jam 1.40 petang.

"Jenazah dihantar pulang ke kampung halamannya di Kampung Bangau-Bangau, Semporna melalui jalan darat untuk majlis pengebumian," katanya dihubungi.

Turut hadir menyambut ketibaan jenazah adalah Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Mazli Mazlan bersama rombongan dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah.

Allahyarham yang juga anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya terbabit kemalangan 7 Mei lalu sewaktu dalam perjalanan untuk menjalankan tugas Op Covid-19.

Selepas lima hari dirawat di Hospital Putrajaya, Mohd Naim disahkan meninggal dunia jam 12.05 tengah malam semalam.

Disiarkan pada: May 13, 2020 @ 6:32pm
d