mutakhir

Nafi siar tarikh buka sekolah

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

HARIAN Metro menafikan penularan berita di laman sosial berhubung sesi persekolahan akan dibuka semula yang menggunakan artikel terbitan akhbar ini.

Berdasarkan kenyataan Menteri Kanan (Pendidikan) Dr Mohd Radzi Md Jidin dalam wawancara khas program Soal Rakyat terbitan TV3 pada Isnin lalu, sesi persekolahan hanya akan dibuka untuk pelajar kelas peperiksaan tingkatan lima dan enam terlebih dulu.

Ini bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) yang dirangka Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dapat dilaksanakan terlebih dulu.

Ia juga bagi memastikan SOP seperti penjarakan sosial dapat dipraktikkan manakala jumlah pelajar dalam kelas yang lebih kecil berbanding sebelum ini bagi membendung penularan Covid-19.

Namun, Harian Metro tidak melaporkan sebarang tarikh khusus untuk 5.4 juta pelajar seluruh negara memulakan sesi persekolahan sama ada tahun ini atau tahun hadapan seperti tular di laman sosial.

Laporan yang mengaitkan akhbar ini di media sosial bahawa 'sekolah akan dibuka bagi pelajar Tingkatan 5 dan 6 pada 2020 dan murid dan pelajar lain hanya akan memulakan sekolah pada tahun 2021', adalah perbuatan tidak bertanggungjawab.

Ia juga mencetuskan panik dalam kalangan ibu bapa selain cubaan merosakkan reputasi akhbar ini sebagai antara platform berita utama negara.

Dr Mohd Radzi pada sidang media khas sebelum ini berkata, KPM akan memaklumkan dua minggu lebih awal sebelum sesi persekolahan bermula.

Disiarkan pada: May 13, 2020 @ 7:02pm
d