mutakhir

Empat kes positif rakyat Malaysia dari luar negara

Oleh Saipul Adli Mohamad

EMPAT lagi kes positif Covid-19 dikesan membabitkan rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara, hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, empat kes itu membabitkan kepulangan tiga dari Pakistan dan seorang dari Indonesia.

Pertambahan empat kes itu, katanya, menjadikan jumlah kes positif membabitkan golongan berkenaan bertambah kepada 360 kes.

"Secara keseluruhan, seramai 32,692 warganegara Malaysia yang pulang dari luar negara sudah dikuarantin antara 3 April hingga 13 Mei.

"Daripada jumlah itu, seramai 24,798 individu sudah tamat tempoh kuarantin 14 hari. Manakala jumlah kes didapati positif Covid-19 ialah 360 kes iaitu pertambahan empat kes hari ini," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media harian perkembangan terkini Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Noor Hisham turut menghuraikan mengenai laporan kluster Covid-19 di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) membabitkan tiga lokaliti.

Katanya, Pusat Bandar Utara dan Pasar Borong Kuala Lumpur yang tamat tempoh PKPD semalam, tiada pertambahan kes.

"Jumlah kes positif adalah 197 kes iaitu 83 membabitkan kes di luar PKPD dan 120 bukan warganegara serta satu kematian bukan warganegara.

"Lokaliti Selayang Baru juga tiada pertambahan kes. Kekal kes positif 52 membabitkan 36 bukan warganegara. Untuk lokaliti Pasar Jalan Othman, Petaling Jaya tiada pertambahan, kekal 27 kes membabitkan dua kes daripadanya di luar kawasan PKPD serta 21 bukan warga negara," katanya.

Mengulas mengenai kluster perhimpunan di Seri Petaling, Noor Hisham berkata, sebanyak 37,511 sampel diambil dan diuji manakala bilangan kes positif 2,348 iaitu bertambah dua kes yang kini sudah membabitkan lima generasi.

Katanya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenalpasti 18,728 pelajar, guru, kakitangan di 370 sekolah tahfiz dan madrasah.

"Daripada jumlah itu, sampel yang diambil dan diuji adalah 11,546 bersamaan 61.6 peratus manakala jumlah kes positif ialah 445 iaitu bersamaan 3.9 peratus.

"Untuk saringan membabitkan 212 pasar di Malaysia, seramai 33,386 individu sudah dikenalpasti. Seramai 26,693 bersamaan 80 peratus sudah disaring dan diuji, didapati 249 bersamaan 0.9 peratus adalah positif Covid-19," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: May 13, 2020 @ 7:06pm
    d