mutakhir

Calon UMNO di PRK Chini

Oleh Yusmizal Dolah Aling

BARISAN Nasional (BN) akan meletakkan calon daripada UMNO pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini.

Setiausaha Agung BN, Tan Sri Annuar Musa berkata, perkara itu dipersetujui dalam mesyuarat Dewan Tertinggi BN dua hari lalu dan parti memutuskan untuk meletakkan calon bagi mempertahankan kerusi itu.

Beliau berkata, selain penetapan calon pada PRK itu nanti, mesyuarat itu juga memutuskan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dilantik sebagai Pengarah PRK berkenaan dan akan dibantu Jabatan Urusan Pilihan Raya BN Pusat.

Katanya, persiapan awal sudah pun dijalankan dan pihaknya menunggu makluman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk tindakan lanjut.

"Memahami keadaan negara masih lagi di dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), maka BN akan buat penyesuaian tertentu supaya sebarang kempen mengambil kira keperluan pematuhan prosedur operasi standard.

"Kalau tak ada PKPB sekalipun, dengan mengambil kira ancaman Covid-19, maka langkah-langkah perlu diambil seperti dianjurkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Ini termasuk gerakan kempen yang tidak bersifat bersua muka dan akan berkempen guna siber dan sebagainya," katanya pada sidang media pasca mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) di Pusat Dagangan Dunia di Kuala Lumpur, hari ini.

Kerusi DUN Chini kosong susulan kematian penyandangnya, Datuk Seri Abu Bakar Harun, 60, 7 Mei lalu.

Dalam perkembangan lain, Annuar berkata, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilantik sebagai Ketua Whip BN di Dewan Rakyat.

Katanya, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu akan menyelaras urusan berkaitan hal ehwal Dewan Rakyat dalam kalangan ahli parlimen BN dengan kerajaan.

Selain itu, katanya, mesyuarat juga membuat pelantikan Pengerusi BN di semua kawasan parlimen kecuali Sarawak yang membabitkan 191 kawasan.

Menurutnya, mesyuarat sama juga bersetuju melantik Tan Sri Noh Omar sebagai Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras BN Selangor dan mengekalkan mereka di negeri lain seperti sedia ada.

Disiarkan pada: May 14, 2020 @ 2:19pm
d