mutakhir

Bicara bela diri Ku Nan sambung Isnin ini

Oleh BERNAMA

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 18 Mei untuk perbicaraan pembelaan kes bekas Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang didakwa menerima rasuah berjumlah RM2 juta daripada seorang ahli perniagaan.

Timbalan Pendakwa Raya Julia Ibrahim berkata pihaknya menerima e-mel daripada Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Catherine Nicholas pada 8 Mei lalu yang memaklumkan bahawa mahkamah menetapkan 18 hingga 22 Mei untuk menyambung perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan.

"Pihak pembelaan dijangka memanggil tiga saksi lagi untuk memberi keterangan dalam perbicaraan itu," kata Julia yang mengetuai pasukan pendakwaan kepada Bernama melalui mesej WhatsApp.

Tengku Adnan, 69, memilih untuk memberi keterangan bersumpah dari kandang saksi pada hari pertama prosiding pembelaannya pada 17 Januari lalu.

Beliau selesai memberi keterangannya pada 5 Mac.

Pada 14 Oktober tahun lalu, Mahkamah Tinggi memerintahkan Tengku Adnan membela diri atas pertuduhan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya mewujudkan prima facie terhadap kes tertuduh.

Mengikut pertuduhan, Tengku Adnan didakwa dalam kapasitinya sebagai seorang penjawat awam iaitu Menteri Wilayah Persekutuan menerima untuk dirinya wang berjumlah RM2 juta daripada seorang ahli perniagaan, Tan Sri Chai Kin Kong yang juga Pengarah Aset Kayamas Sdn Bhd (AKSB) melalui cek Hong Leong Islamic Bank milik AKSB yang didepositkan ke dalam akaun bank CIMB milik Tadmansori Holdings Sdn Bhd (THSB) yang beliau mempunyai kepentingan, yang diketahui syarikat Aset Kayamas ada perhubungan dengan kerja rasminya.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Berhad, Cawangan Pusat Bandar Damansara, pada 14 Jun 2016.

Tengku Adnan didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Disiarkan pada: May 14, 2020 @ 2:34pm
d