mutakhir

12 positif Covid-19 dalam tiga minggu

Oleh Hassan Omar

DUA belas orang dari pusat pengajian agama dan tahfiz al-Quran di seluruh Melaka disahkan positif Covid-19 selepas menjalani saringan kesihatan di tiga klinik kesihatan (KK) sejak tiga minggu lalu hingga semalam.

Mereka dipercayai dijangkiti wabak berkenaan daripada kluster tabligh di Masjid Seri Petaling, Kuala Lumpur, pada Mac lalu.

Saringan dijalankan ke atas kira-kira 1,000 orang dari pusat berkenaan dijalankan di KK Rembia dan Masjid Tanah dalam daerah Alor Gajah dan KK Batu Berendam dalam daerah Melaka Tengah sebelum mereka kini menjalani rawatan di Hospital Melaka.

Exco Kesihatan dan Antidadah negeri, Rahmad Mariman berkata, saringan itu bertujuan mengenal pasti mereka yang mempunyai gejala wabak itu untuk menjalani proses kuarantin dan mereka yang positif dihantar ke Hospital Melaka.

"Mereka adalah guru dan pelajar pusat pengajian agama serta tahfiz al-Quran yang diberikan perhatian khusus berikutan penularan wabak Covid-19 daripada kluster tabligh," katanya ketika meninjau operasi saringan kesihatan pandu lalu di KK Masjid Tanah, Alor Gajah, hari ini.

Taklimat mengenai operasi berkenaan diberikan Pegawai Epidemiologi (Kawalan Penyakit) Pejabat Kesihatan Daerah Alor Gajah, Datin Seri Dr Nor Zakiah Mohd Tahir dan Ketua KK Masjid Tanah, Pakar Perunding Perubatan Keluarga Dr Norsiah Ali.

Rahmad yang menghabiskan kira-kira sejam meninjau operasi itu berkata, seramai 250 orang dijangka menjalani saringan pandu lalu di KK Masjid Tanah sejak ia dimulakan kelmarin hingga Selasa depan.

"Kebanyakan mereka pernah hadir di sebuah pasar raya di pekan Masjid Tanah antara hujung bulan lalu hingga awal bulan ini berikutan seorang juruwang di pasar raya itu disahkan positif pada 5 Mei lalu.

"Ia adalah susulan daripada kes dua penghuni sebuah pusat pengajian agama di Kampung Pulau Semut, Masjid Tanah, masing-masing wanita berusia 42 tahun dan lelaki berusia 20 tahun yang disahkan positif Covid-19 pada 3 Mei lalu," katanya.

Berikutan itu, Jabatan Kesihatan Negeri Melaka mengarahkan pasar raya itu menghentikan operasi dari 4 Mei lalu hingga 17 Mei ini, sebelum jabatan berkenaan membenarkannya memulakan semula operasi mulai hari ini.

Rahmad berkata, saringan berkenaan berjalan lancar kerana hanya mereka yang mengisi borang dalam talian dibenarkan menghadiri janji temu proses berkenaan.

"Seramai 22 orang menjalani saringan Selasa lalu sebelum diikuti seramai 31 semalam dan hari ini seramai 60 orang.

"Antara 200 hingga 250 orang dijangka menghadiri proses saringan pandu lalu mulai 9 pagi hingga 12 tengah hari," katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta sesiapa yang mempunyai gejala demam, selsema atau sakit tekak, selain kontak rapat dengan individu positif Covid-19 atau berada di lokasi yang ada risiko dijangkiti wabak itu supaya menjalani saringan kesihatan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: May 14, 2020 @ 3:33pm
    d