mutakhir

Wajik perisa durian semakin diminati

Oleh Abnor Hamizam Abd Manap

WAJIK antara makanan tradisional kebiasaannya dihidangkan kepada tetamu ketika hari raya sama ada Aidilfitri atau Aidiladha.

Malah, wajik kini boleh dimakan dan didapati pada sepanjang masa berikutan diusahakan secara meluas oleh pengusaha.

Pengusaha, Abd Rauf Abu, dari Kampung Teriang, Kuala Klawang, Jelebu, kini meneruskan perniagaan wajik yang diwarisi turun-temurun daripada keluarganya.

Katanya, pembabitannya bermula pada 1998, namun sekadar membantu mempromosi dan menjual wajik dimasak ibu saudaranya.

"Saya belajar memasak wajik daripada ibu saudara dan antara generasi keempat meneruskan legasi perniagaan keluarga ini.

"Sejak empat tahun lalu, dia mengambil keputusan untuk memasak dan menjual sendiri wajik berkenaan dan masih mengekalkan keasliannya berikutan hanya membuat wajik biasa dan perisa durian.

"Kali ini, saya mendapat banyak tempahan wajik durian berbanding wajik biasa, kebetulan durian mudah diperoleh di samping saya turut menyimpan stok durian sejuk beku," katanya.

Beliau berkata, bukan mudah menyiapkan wajik tradisional berikutan perlu mengikut semua peraturan memasak bermula dengan proses merendam beras pulut.

Menurutnya, wajik dihasilkan itu mengikut resipi nenek moyang terdahulu dan tiada pengubahsuaian terhadap resipi berkenaan.

"Cara pembuatan begitu teliti dan perlu mengutamakan kebersihan dan jika tidak, wajik tidak tahan lama dan cepat berkulat.

"Beras pulut perlu direndam selama lima hingga enam jam dan kemudian dikukus lebih kurang 45 minit sebelum menggunakan sama ada gula enau atau gula putih," katanya.

Disiarkan pada: May 14, 2020 @ 6:14pm
d