mutakhir

KKM cari rakan kepada pejalan kaki maut pulang kampung [METROTV]

Oleh Amir Abd Hamid dan Raja Noraina Raja Rahim

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) menjalankan pengesanan kontak rapat kes kematian ke-110 akibat Covid-19, semalam, khususnya membabitkan rakan si mati di Segamat, Johor.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes berkenaan membabitkan warga tempatan berusia 30 tahun yang ditemui mati di tepi jalan di Rompin, Pahang.

Katanya, arwah dikatakan dalam perjalanan pulang ke kampungnya di Terengganu dari Segamat dengan berjalan kaki sebelum ditemui mati di Rompin.

"Pengesanan kontak rapat dilakukan di tempat asal di Segamat (kawasan tempat kerja sebelum melakukan perjalanan pulang berjalan kaki).

"Rakan-rakannya akan dikesan dan diminta tampil untuk melaksanakan saringan Covid-19. Punca jangkitan Covid-19 terhadap si mati masih dalam siasatan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media harian perkembangan terkini Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Sementara itu, mengulas mengenai kes kematian hari ini membabitkan warga tempatan berusia 39 tahun di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Pahang, beliau berkata, arwah adalah pesakit jantung.

Katanya, arwah mempunyai sejarah penyakit injap jantung serta pernah terbabit kemalangan awal tahun ini yang menyebabkan patah tulang utama di kaki dan sukar bergerak sendiri.

"Ditambah dengan jangkitan dari rumah menyebabkan kemungkinan ada tiga komplikasi iaitu radang paru-paru, darah beku dan kurang ketahanan tubuh.

"Tiga faktor ini adalah menyebabkan kematian, terutama mereka yang berusia muda," katanya.

Berita berkaitan

Bawa sayang hingga ke akhir hayat

Tragisnya...

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: May 14, 2020 @ 6:25pm
    d