mutakhir

Majikan disyor hantar pekerja asing jalani saringan [METROTV]

Oleh Amir Abd Hamid dan Raja Noraina Raja Rahim

MAJIKAN yang mempunyai pekerja asing digalakkan menghantar pekerja mereka untuk menjalani ujian pengesanan Covid-19 bagi mengekang penularan wabak itu dalam kalangan warga asing.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pekerja warga asing adalah antara kumpulan sasaran Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berikutan peningkatan kes positif dalam kalangan kumpulan berkenaan.

"Kita menyasarkan pekerja asing di sektor pembinaan dalam kawasan zon merah seperti di Kuala Lumpur dan Selangor untuk melakukan ujian pengesanan.

"Malah, kita amat menggalakkan majikan membawa pekerja asing mereka menjalani ujian berkenaan," katanya dalam sidang media harian Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Bagaimanapun, Dr Noor Hisham berkata, bagi pekerja asing di kawasan zon hijau tidak perlu melakukan ujian itu.

"Pekerja di zon hijau seperti Perlis yang tiada kes aktif selama tempoh lebih dua minggu tidak perlulah berbuat demikian.

"Tetapi jika majikan masih mahu lakukan, kita tiada halangan," katanya.

Ditanya mengenai sejauh mana kapasiti makmal KKM untuk melakukan ujian pengesanan Covid-19, Noor Hisham berkata, sebanyak 26,623 sampel boleh diuji setiap hari di 45 makmal seluruh negara.

Katanya, ia adalah mencukupi ketika ini dan semalam cuma 25,106 ujian persampelan dilakukan iaitu 94 peratus daripada keseluruhan kapasiti terbabit.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: May 14, 2020 @ 7:15pm
    d