mutakhir

Kumpulan madrasah tahfiz tidak bergejala membimbangkan [METROTV]

Oleh Amir Abd Hamid dan Raja Noraina Raja Rahim

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati hampir 85 peratus daripada 635 kes positif dalam kalangan kumpulan madrasah tahfiz dikesan tidak bergejala atau asymptomatic.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pihaknya bimbang kumpulan sama yang pulang pada perayaan Aidilfitri ini menyangkakan mereka sihat akan menjangkiti rakan dan keluarga di rumah.

Berdasarkan rekod, katanya, hanya 96 kes atau 15.1 peratus daripada kes yang didapati positif dalam kalangan pelajar, pengajar dan kakitangan sekolah serta madrasah tahfiz yang bergejala.

"Daripada sebanyak 635 kes positif yang dikesan dalam kalangan kumpulan madrasah tahfiz, sebanyak 539 individu atau 84.9 peratus tidak bergejala. Hampir 85 peratus tidak bergejala.

"Kalau tidak ada gejala, mereka ingatkan mereka sihat, tetapi mungkin akan menjangkiti rakan di kampung atau membawa virus itu serta menjangkiti keluarga, apa yang kita bimbang warga emas, ibu bapa atau datuk dan nenek mereka," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media harian perkembangan terkini Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, pihaknya mengingatkan supaya pelajar, pengajar dan kakitangan madrasah tahfiz untuk tampil membuat saringan di Klinik Kesihatan atau hospital KKM bagi menjalani persampelan ujian Covid-19.

"Bagi mereka yang masih belum pulang ke kampung, pihak terbabit diminta kekal berada di madrasah atau pusat tahfiz serta menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) atau Klinik Kesihatan saringan terdekat.

"KKM juga mengalu-alukan kerjasama daripada pemilik atau pengurusan madrasah terbabit untuk menghubungi PKD berdekatan bagi menyalurkan maklumat diperlukan berkaitan pelajar atau kakitangan di premis masing-masing.

"Ia supaya KKM dapat menjalankan tindakan pendekatan tertumpu," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, sehingga kini seramai 19,209 pelajar, guru dan kakitangan dikenal pasti dari 370 madrasah dan pusat tahfiz di seluruh negara dan sebanyak 12,384 sampel sudah diuji.

Daripada jumlah itu, katanya, sebanyak 10,755 sampel didapati negatif manakala 994 kes lagi masih menunggu keputusan.

"Berdasarkan kepada keputusan saringan ini, kadar positif dalam kalangan kumpulan berisiko adalah 5.1 peratus berbanding dengan situasi seminggu lalu iaitu kadar positif dalam kalangan kumpulan berisiko ini adalah 4.4 peratus.

"Trend kenaikan kadar positif ini adalah membimbangkan kerana ia menunjukkan kebarangkalian untuk menjangkiti orang lain dalam kalangan kumpulan ini adalah semakin meningkat," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, pihaknya mengesan sebanyak enam kluster Covid-19 membabitkan madrasah tahfiz termasuk kluster terbaharu di Solok Duku, Melaka.

Katanya, setakat ini seramai 107 pelajar, guru dan ahli keluarga dari madrasah tahfiz itu sudah disaring dan terdapat dua kes positif dalam kalangan 35 pelajar dan dua kes positif membabitkan 62 ahli keluarga guru, kakitangan dan pelajar.

"Tiada kes positif dalam kalangan 10 guru dan kakitangan madrasah," katanya.

Lima lagi kluster adalah madrasah di Sungai Salan, Pahang (84 kes); madrasah di Sungai Lui, Selangor (172 kes); madrasah di Air Merbau, Melaka (41) dan masing-masing enam kes di madrasah di Lancang, Pahang serta di Penanti, Pulau Pinang.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: May 14, 2020 @ 8:14pm
    d