mutakhir

Warga Indonesia lega dapat pulang

Oleh Abdul Rahemang Taiming

SERAMAI 134 warga Indonesia yang terkandas di Sabah sejak dua bulan lalu susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menarik nafas lega selepas dibenarkan pulang hari ini.

Mereka bergerak pulang ke wilayah masing-masing melalui Terminal Feri Tawau.

Pesara guru, Takri Lagga, 68, berkata, dia bersyukur kerana dapat pulang ke kampung di Wilayah Enrekan, Sulawesi Selatan, selepas menziarahi keluarga di sini.

"Ahli keluarga di kampung risau kerana terkandas di sini sejak PKP dilaksanakan di Malaysia 18 Mac lalu.

"Syukur akhirnya hari ini dapat pulang seterusnya berharap dapat menyambut Aidilfitri bersama keluarga di kampung," katanya.

Sementara itu, Konsulat Republik Indonesia (KRI) di Tawau, Sulistijo Djati Ismojo berkata, pihaknya prihatin dengan keluhan warganya yang terkandas di Sabah.

"Kami berjaya mengumpulkan seramai 168 warga dari beberapa daerah yang mendaftar di KRI Tawau dan mendapat kelulusan kerajaan negeri, sebelum penyelarasan dibuat bersama agensi yang berkaitan untuk membawa mereka pulang.

"Kesemua yang pulang hari ini sudah menjalani ujian saringan kesihatan dan disahkan sihat oleh pihak hospital sebelum dibenarkan menaiki feri," katanya.

Jelas Sulistijo, mereka menaiki dua buah feri iaitu MV Purnama Ekpress dan KM Franciss Ekpress sebelum menyambung perjalanan ke wilayah masing-masing di Pare-Pare dan Kalimantan Utara di Nunukan Indonesia.

Disiarkan pada: May 15, 2020 @ 11:22am
d