mutakhir

334 peniaga dan pekerja Pasar Selayang Baru negatif Covid-19 [METROTV]

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

SERAMAI 334 peniaga dan pekerja di Pasar Awam Selayang Baru, di sini, didapati negatif Covid-19 hasil ujian saringan dilakukan Dewan Seroja, Kampung Bendahara pada 8 Mei lalu.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang (MPS) Shamsul Shahril Badliza Mohd Noor berkata, setakat ini, pihaknya sudah melakukan program ujian saringan di dua lokasi iaitu Pasar Awam Selayang Baru dan Pasar Awam Rawang.

"Seramai 335 peniaga dan pekerja di Pasar Awam Selayang Baru menjalani ujian saringan itu dan hasil keputusan diperoleh 334 daripada mereka negatif Covid-19, manakala satu lagi keputusan belum diketahui.

"Bagi program saringan di Pasar Awam Rawang pula, seramai 317 peniaga dan pekerja hadir melakukan ujian berkenaan. Namun keputusan ujian terbabit belum diperoleh memandangkan program berkenaan baru dibuat dua hari lalu," katanya ketika ditemui pada program saringan Covid-19 di Dewan Beringin Taman Sri Gombak, di sini, hari ini.

Shamsul berkata, program saringan itu tertumpu kepada 250 peniaga dan pekerja di Pasar Taman Sri Gombak selain barisan hadapan yang bertugas di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Selayang Baru serta Ahli Majlis MPS.

"Kumpulan barisan hadapan ini terdiri daripada pegawai dan anggota dari Polis Diraja Malaysia (PDRM), Anggota Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APMM).

"Selain itu, semua Ahli Majlis MPS disarankan membuat ujian saringan memandangkan mereka banyak bertemu dengan orang awam," katanya.

Beliau berkata, ada dalam kalangan peniaga dan pekerja pasar awam memberi alasan tidak ada keperluan menjalani ujian saringan kerana tiada kes positif di kawasan terbabit.

"Bagaimanapun, kami mewajibkan mereka menjalani ujian saringan berkenaan. Kami mengetahui ada sebahagian peniaga menggunakan khidmat pekerja warga asing tanpa permit dan golongan itu berkemungkinan besar tidak hadir menjalani ujian.

"Sekiranya mereka didapati mengingkari arahan itu, peniaga serta pekerja tidak dibenarkan menjalankan operasi perniagaan dan bekerja di pasar. Pada masa sama, kami akan bekerjasama dengan PDRM dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bagi mengesan mereka yang degil," katanya.

Sementara itu, peniaga ayam di Taman Sri Sri Gombak, Kek Boon Swa, 40, berkata, dia sudah dimaklumkan pihak MPS untuk melakukan ujian saringan itu empat hari lalu.

"Sebelum ini, pihak MPS memaklumkan perkara ini kepada semua peniaga dan di Pasar Awam Taman Sri Gombak untuk menghadirkan diri hari ini. Malah, semalam, kami (peniaga dan pekerja) sudah mengisi borang untuk ujian saringan seperti diarahkan.

"Saya tiba di dewan ini kira-kira jam 10 pagi tadi dan proses ujian saringan itu hanya mengambil masa satu jam termasuk tempoh menunggu.

"Setakat ini, saya tidak dimaklumkan mengenai sebarang kes positif Covid-19 di Pasar Awam Taman Sri Gombak," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: May 15, 2020 @ 1:35pm
    d