mutakhir

Arwah dah siapkan barut, pakaian bayi

Oleh Hassan Omar

"NUR Ain sudah siapkan barut dan pakaian untuk menyambut kelahiran bayinya dua bulan lagi namun kuasa Allah SWT lebih besar. Dia dan kandungannya pergi buat selamanya," kata Kamarulzaman Omar, 59.

Kamarulzaman ialah bapa kepada Nur Ain, 25, yang meninggal dunia bersama kandungannya berusia tujuh bulan dan suaminya, Mohd Hairawi Mat Rezam, 36, dalam kemalangan di Jalan Bukit Merchat, Pulau Sebang, Alor Gajah, 7.40 pagi semalam.

Kemalangan berlaku apabila motosikal dibonceng mereka dilanggar kereta.

Nur Ain disahkan meninggal dunia pada 12 tengah hari ketika dirawat di Hospital Tampin manakala bayi perempuan dalam kandungannya sudah meninggal dunia ketika Nur Ain terjatuh dari motosikal.

Mohd Hairawi pula meninggal dunia di lokasi.

Jenazah Nur Ain selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pulau Sebang Utara, 8 malam semalam manakala jenazah Mohd Hairawi dibawa ke kampung halamannya di Kuala Krai, Kelantan untuk disemadikan.

Menurut Kamarulzaman, yang tinggal kini hanyalah barut serta pakaian bayi buat kenangan keluarga.

"Nur Ain juga amat teruja untuk melahirkan anak dan dia mengatakan, anak dalam kandungan ini boleh menjadi kawan kepada anak tunggalnya hasil perkahwinan pertama, Nuraina Sofiah Abdul Rahim yang berusia dua setengah tahun.

"Nur Ain berpisah dengan suami pertama beberapa tahun lalu sebelum berkahwin dengan Mohd Hairawi pada Ogos 2019," katanya ditemui di kediamannya di Taman Rakyat, Kuala Ina di sini, hari ini.

Nur Ain dan Mohd Hairawai yang bekerja sebagai tukang masak di sebuah kedai makan di Tampin, tinggal bersama Kamarulzaman dan isteri, Rusiah Omar, 55.

Menurut Kamarulzaman yang juga pesara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, sebelum keluar rumah jam 7.15 pagi semalam, Nur Ain yang juga anak keempat daripada lima beradik sempat berpesan kepadanya supaya menjaga Nuraina Sofiah.

"Mereka mahu ke Hospital Melaka untuk bertemu doktor pakar.

"Ketika usia kandungannya beberapa minggu, Nur Ain pernah terjatuh menyebabkan tulang punggungnya cedera," katanya.

Menurut Kamarulzaman, Nur Ain turut menjalani beberapa siri rawatan di Hospital Tampin akibat kecederaan itu sebelum dirujuk ke Hospital Melaka.

"Saya terkejut apabila besan anak kedua datang dan memaklumkan Nur Ain dan Mohd Hairawi terbabit dalam kemalangan dengan kereta kira-kira tiga kilometer dari rumah.

"Tiba di lokasi kejadian, saya lihat mayat menantu ditutup dengan plastik putih manakala Nur Ain sudah dibawa ke Hospital Tampin," katanya.

Menurut Kamarulzaman, walaupun sedih dengan kejadian namun mereka reda dengan ketentuan Ilahi.

"Anak dan menantu sudah tiada dan kini, tanggungjawab utama kami ialah beri perhatian penuh kepada Nuraina Sofiah," katanya.

Berita berkaitan:

  • Pilunya...
  • Disiarkan pada: May 15, 2020 @ 2:29pm
    d