mutakhir

Saya tidak sangka

Oleh Amirul Aiman Hamsuddin

"SAYA tidak sangka kemurungan dialami anak saudara membawa kepada kematian yang tragis," luah Mohamad Sungip Mohd Omar, 40.

Portal Harian Metro semalam melaporkan anak saudara Mohamad Sungip, Mohamad Adli Norddin, 35, yang mengalami kemurungan dilaporkan hilang, sejak 28 April lalu.

Kehilangannya selama 17 hari berakhir selepas mayatnya ditemui seorang lelaki yang memburu babi hutan di sebuah kebun kelapa sawit di Kampung Baru, Sabak Bernam, 11 pagi semalam.

Menceritakan kembali penemuan mayat anak saudaranya itu, Mohamad Sungip berkata, polis menghubunginya jam 2 petang dan memintanya ke lokasi kejadian untuk membuat proses pengecaman.

"Apabila tiba di lokasi, saya tidak terfikir mayat itu adalah anak saudara sendiri sehinggalah melihat barangan peribadi seperti dompet, lesen memandu, salinan kad pengenalan dan kunci motosikal Honda Wave 125 miliknya.

"Kalau bukan kerana pemburu itu masuk ke kebun, mungkin mayat anak saudara saya tidak dijumpai. Syukurlah Allah memudahkan segala urusan," katanya ketika ditemui di Bilik Mayat Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam.

Mohamad Sungip berkata, dia sekeluarga tidak menyangka kehilangan Mohamad Adli berakhir dengan penemuan mayatnya di kebun kelapa sawit itu.

"Saya tanya penduduk mengenai kebun itu. Mereka kata ia milik orang luar dan tidak pernah masuk ke situ.

"Walaupun sukar terima hakikat ini, saya sekeluarga reda dengan ketentuan Ilahi dan berdoa supaya rohnya ditempatkan dalam kalangan orang beriman," katanya.

Mohamad Sungip berkata, dia sudah memaklumkan perkara itu kepada ibu saudaranya yang juga ibu angkat Mohamad Adli, Yatimah Sairan@Ahmad, 70.

"Dia (Yatimah) pada mula tidak dapat menahan kesedihan, namun bersyukur jasad anak angkatnya ditemui walaupun sudah tidak bernyawa," katanya.

Jenazah Mohamad Adli selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tebuk Jawa, jam 12 tengah malam tadi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Superintendan Agus Salim Mohd Alias ketika dihubungi mengesahkan penemuan mayat itu.

Beliau berkata, mayat telah mereput dan disyaki meninggal dunia lebih kurang tujuh hari.

"Siasatan mendapati mayat tidak mempunyai kesan cedera dan tiada berlaku pergelutan. Waris si mati berada di lokasi kejadian dan mengesahkan mayat itu merupakan ahli keluarganya yang hilang," katanya.

Disiarkan pada: May 15, 2020 @ 2:40pm
d