mutakhir

Aplikasi PGcare bantu kesan kontak

Oleh Nur Izzati Mohamad

PULAU Pinang memperkenalkan aplikasi 'Penang Contact Tracer (PGCare)' iaitu sistem pendaftaran bagi pengesanan kontak bagi memudahkan cara pematuhan prosedur operasi standard (SOP) oleh premis perniagaan di negeri itu.

Aplikasi PGCare itu adalah projek usaha sama 'Public, Private, Partnership' (PPP) antara kerajaan negeri melalui Perbadanan Ketua Menteri Pulau Pinang dengan Madison Technologies yang disokong Maxis Broadband Sdn Bhd.

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata, aplikasi itu mampu mengurangkan risiko penularan Covid-19 apabila pemilik perniagaan tidak perlu menyediakan pen dan kertas untuk mencatat maklumat pelanggan.

"Melalui aplikasi ini, ia dapat menggantikan kaedah SOP sebagaimana ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sekali gus memberikan lebih kemudahan kepada rakyat negeri ini.

"Apa yang perlu dilakukan ketika menggunakan aplikasi ini adalah imbas kod QR, isi maklumat yang diperlukan dan isytihar kepada pihak premis selepas daftar masuk," katanya ketika sidang media yang diadakan secara siaran langsung di Facebook di Georgetown hari ini.

Menurutnya, sistem itu bukan sahaja menjimatkan masa dan mengelak sentuhan bahkan juga memastikan maklumat peribadi yang diberikan selamat serta tidak disalah guna.

"PGCare hanya akan merekodkan nama dan nombor telefon yang mana semua maklumat ini hanya boleh diakses oleh kerajaan negeri sahaja.

"Segala pangkalan data akan diurus oleh kerajaan negeri dan maklumat itu akan diakses sekiranya terdapat permintaan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tujuan pengesanan kontak Covid-19," katanya.

Bagaimanapun, Kon Yeow berkata, pangkalan data maklumat itu hanya akan disimpan untuk tempoh 30 hari sahaja dan selepas itu bakal dilupus secara automatik sebagaimana permohonan serta persetujuan daripada Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP).

"Justeru, kerajaan negeri menyeru pihak premis perniagaan dan rakyat Pulau Pinang secara amnya supaya memberi kerjasama untuk menggunakan sistem ini secara bertanggungjawab.

"Kita melaksanakan SOP sebegini kerana kita sayangkan diri, sayangkan keluarga dan sayangkan komuniti kita," katanya.

Untuk mengakses sistem itu boleh melayari laman web,www.pgcare.my atau melalui www.penanglawancovid19.com.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: May 15, 2020 @ 2:45pm
    d