mutakhir

Macam-macam alasan...

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

TAK sempat, hanya keluar di sekitar kawasan rumah, tak bawa laju dan menunggang dalam kawasan kampung antara alasan diberikan penunggang dan pembonceng motosikal yang ditahan kerana tidak memakai topi keledar dalam Op Kepala Batu di sekitar Kemaman.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, seramai 382 individu termasuk 70 wanita disaman dalam tempoh empat hari sejak Isnin lalu kerana kesalahan berkenaan.

Beliau berkata, daripada 382 individu itu, 60 saman dikeluarkan semalam dalam operasi bermula antara 2 petang hingga 6.30 petang.

"Operasi dilakukan di enam lokasi iaitu Binjai, Geliga, Kemasik, Cheneh, Seri Bandi dan Bukit Kuang dengan majoriti yang disaman berusia antara 16 hingga 30 tahun.

"Sebelum operasi bermula Isnin lalu, kami sudah memberi nasihat kepada masyarakat selama dua hari mengenai kepentingan memakai topi keledar," katanya.

Beliau berkata, penguatkuasaan mula dilaksanakan kerana masyarakat seolah-olah memandang remeh isu keselamatan sedangkan pemakaian topi keledar dapat mencegah kecederaan parah di kepala sehingga mengakibatkan kematian.

Menurutnya, operasi difokuskan kepada pemakaian topi keledar dan pihaknya memberi kelonggaran kepada kesalahan lain seperti tiada lesen memandu dan cukai jalan tamat tempoh.

Katanya, pihaknya berharap operasi itu dapat mendidik masyarakat kerana pemakaian topi keledar bukan sahaja tercatat dalam undang-undang lalu lintas, malah penting untuk keselamatan penunggang dan pembonceng.

Disiarkan pada: May 15, 2020 @ 3:38pm
d