mutakhir

Tokan agresif cuba lolos diri dicekup

Oleh Hamzah Osman

TOKAN dadah bertindak agresif ketika cuba meloloskan diri daripada ditahan polis di Kampung Mata Ayer di Langkawi, pagi hari ini.

Lelaki berusia 32 tahun itu dipercayai sedang menunggu pelanggan di tepi jalan untuk mengedarkan bahan terlarang ketika ditahan pada 1.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Langkawi Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim berkata, tangkapan itu dilakukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik ketika melakukan rondaan cegah jenayah.

"Sejurus ditahan, suspek bertindak agresif dan cuba melarikan diri namun gagal meloloskan diri dari kepungan tetapi berjaya ditahan polis.

"Pemeriksaan mendapati, suspek memiliki sembilan paket plastik lutsinar berisi dadah heroin seberat 46.20 gram," katanya ketika dihubungi.

Mohd Iqbal berkata, suspek adalah penganggur dan ujian saringan air kencing mendapati dia positif dadah jenis morfin.

"Siasatan mendapati suspek turut memiliki rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan mengaku mendapat bekalan dadah daripada seorang lelaki dikenali Man.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan," katanya.

Disiarkan pada: May 15, 2020 @ 3:41pm
d