mutakhir

Rumah pertama bawah RM200,000 untuk belia B40

Oleh Redzuan Muharam

KEMENTERIAN Wilayah Persekutuan (KWP) komited membantu belia terutama golongan B40 memiliki rumah pertama berharga RM200,000 menerusi program Residensi Prihatin.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, program itu dilaksanakan dengan matlamat membantu dan membolehkan belia membeli rumah sebelum usia mereka mencecah 35 tahun.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri Wilayah Persekutuan berkata tiga tapak sudah dikenal pasti di Putrajaya dan sedang mengenal pasti beberapa lagi lokasi pembinaan rumah bagi program berkenaan.

" Saya memahami kebanyakan belia tidak beli rumah sebaliknya menyewa sehingga berusia 40 tahun.

"Apabila dana simpanan atau pendapatan tinggi baru ada kemampuan untuk membeli.

"Itu menyebabkan apabila ada kemampuan membeli, mereka gagal mendapatkan pinjaman bank kerana usia sudah lanjut dan ramai juga mahu beli rumah murah tetapi tidak dapat," katanya.

Beliau berkata demikian menerusi siaran langsung di Facebook (FB Live) sempena sambutan Hari Belia 2020.

Menurut Annuar, rumah itu tidak perlu besar atau ideal tetapi memadai selesa didiami golongan belia.

"Pada fikiran saya, belia perlu memiliki rumah sendiri selewat-lewatnya sebelum berusia 35 tahun dan sebelum mereka berkeluarga dan mempunyai anak.

"Bayaran bulanan untuk rumah itu nanti di bawah RM1,000 sebulan dan program ini didedikasikan kepada generasi belia dan anak muda di ibu kota," katanya.

Disiarkan pada: May 15, 2020 @ 3:56pm
d