mutakhir

RM2 juta untuk selesai banjir kilat Kampung Bentong

Oleh Adnan Ibrahim

DIANGGARKAN RM2 juta diperlu untuk mengatasi masalah banjir kilat di Kampung Bentong Dalam dan Kampung Bentong Luar, Kluang.

Pegawai Penyelaras Perikatan Nasional Parlimen Kluang, Datuk Md Jais Sarday berkata, ia adalah kos untuk kerja mengatasi beberapa masalah di sepanjang Sungai Melantai.

Katanya, keutamaan adalah usaha mendalamkan serta membersihkan keseluruhan tebing sungai dan membina semula penghadang yang runtuh.

"Limpahan air hujan yang tidak terkawal akibat pembangunan perumahan di bahagian hulu sungai ini perlu diatasi.

"Manakala halangan akibat pembinaan landasan kereta api berkembar di bahagian hilir perlu dialihkan segera kerana ia punca aliran air menjadi perlahan," katanya kepada pemberita selepas mendengar taklimat dan lawatan ke Kampung Bentong Dalam dan Bentong Luar hari ini.

Menurut Md Jais, banjir kilat menjejaskan kira-kira 70 keluarga di kedua-dua kampung berkenaan.

Disiarkan pada: May 15, 2020 @ 3:58pm
d