mutakhir

Tersepit di mangkuk tandas

Oleh Nor Farhani Che Ad

ANGGOTA bomba mengambil masa kira-kira 20 minit bagi mengeluarkan seorang remaja perempuan yang tersepit di dalam tandas di Taman Bandar Baru, Bedong, Sungai Petani, hari ini.

Komander operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Aman Jaya, Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Ramli Md Saad berkata, pihak menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada 11.47 pagi.

Katanya, seramai enam anggota bersama sebuah jentera dikejarkan ke lokasi kejadian sebelum tiba lapan minit kemudian.

"Setibanya di lokasi kita mendapati mangsa yang berusia 19 tahun itu tersepit di antara dinding dan mangkuk tandas.

"Pasukan bertindak memecahkan mangkuk tandas dengan peralatan khas dan berjaya mengeluarkan mangsa," katanya ketika dihubungi hari ini.

Ramli berkata, difahamkan mangsa terjatuh akibat pening kepala berikutan tidak sihat.

Katanya, mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan diserahkan kepada pegawai kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk rawatan lanjut.

Disiarkan pada: May 15, 2020 @ 5:25pm
d