mutakhir

Normal baharu sambutan Aidilfitri buat warga kota

Oleh Rosyahaida Abdullah

"AIDILFITRI kali ini tentunya berbeza bukan hanya untuk saya tetapi umat Islam di seluruh dunia namun saya percaya ada hikmah lebih baik di sebalik kejadian (penularan wabak Covid-19) ini," kata Muadzam Muhamad, 35.

Menurut penjawat awam ini, sempena Syawal yang bakal tiba kurang dua minggu lagi, tidak banyak persiapan dilakukan untuk isteri dan anak berbanding kebiasaan.

Ini kerana katanya, selain aktiviti ziarah yang dihadkan oleh kerajaan, dia sendiri mengakui bimbang mengulangi rutin Aidilfitri tahun lalu memandangkan angka kes jangkitan Covid-19 masih belum meyakinkan.

"Jika tahun sebelum ini persediaan menyambut Aidilfitri perlulah disertakan dengan duit raya yang siap ditukar, baju raya dua pasang setiap seorang, kuih raya serta lemang sudah ditempah dan sebagainya, tahun ini rasanya tidak sampai 50 peratus daripada semua perkara itu dibuat.

"Memikirkan pula ibu saya akan hanya beraya bersama abang di Kuantan (Pahang) tanpa empat anaknya termasuk saya kerana kami semua menetap di Kuala Lumpur, hati jadi lebih sayu.

"Bagaimanapun, kami adik beradik berharap Covid-19 akan benar-benar terkawal untuk membolehkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ditamatkan Julai nanti.

"Selain menyambut Aidiladha bersama ibu, kami juga mahu meraikan hari lahirnya yang secara kebetulan jatuh pada bulan sama. Untuk Aidilfitri, mungkin kami akan berhubung secara panggilan video pada pagi raya," katanya kepada Harian Metro.

Bagi eksekutif swasta, Norhidayah Sambak, 34, selain tiada lagi amalan ziarah yang biasa dilakukan pada beberapa hari pertama Syawal serta rumah terbuka Aidilfitri pada hujung minggu, eksekutif swasta ini turut terkesan dengan kehilangan ibu mentua Disember lalu.

"Sejujurnya saya dan suami sudah membayangkan kemeriahan beraya pada tahun ini apabila disahkan hamil anak kembar tahun lalu namun kira-kira lima bulan kemudian, ibu mentua saya meninggal dunia.

"Ia cukup memberi kesan apabila saya sudah pun kehilangan ibu sendiri 10 tahun lalu dan menumpang kasih ibu dengan mama (ibu mentua) selama ini.

"Disebabkan itu, persiapan untuk Aidilfitri hampir tiada. Kami sekadar membeli sepasang baju baru untuk anak sulung (Izz Khalilah Iskandar, 5) dan akan mengirim duit raya secara terus ke dalam akaun bank untuk bapa dan bapa mentua di kampung.

"Selagi wabak Covid-19 tidak lenyap, mungkin saya dan suami tidak melakukan ziarah ke mana-mana, kalau ada pun cuma ke rumah rakan rapat di Setiawangsa pada hari raya pertama nanti," katanya yang menetap di Desa Pandan, Kuala Lumpur.

Perasaan kehilangan Norhidayah turut dirasai Abdul Rahman Safian, 35, yang menyifatkan Syawal tahun ini tidak semeriah dulu apabila ayah tercinta meninggal dunia pada Februari 2020.

Jelas guru di Setapak ini, aktiviti pada hari raya pertama mungkin masih sama seperti tahun lalu namun mungkin dia dan keluarga tidak dapat menziarahi kubur seperti selalu.

"Saya dan isteri masih tinggal di rumah orang tua dan kebiasaannya adik beradik saya akan pulang pada malam raya namun mungkin mereka tidak dapat pulang bermalam pada tahun ini.

"Berbanding tahun lalu, kami masih sediakan duit raya pada tahun ini tetapi dikurangkan kerana ziarah dihadkan jadi kita bagi duit raya kepada keluarga terdekat saja. Baju raya pun beli menerusi dalam talian.

"Mengenai PKPB, saya tidak kisah jika ia dilanjutkan selagi ia menjamin kesihatan kita semua. Kita perlu ambil iktibar daripada beberapa negara luar yang kembali berdepan penularan jangkitan Covid-19 gara-gara melonggarkan PKP," katanya.

Menerusi Perutusan Khas Ahad lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan PKPB dilanjutkan sehingga 9 Jun yang antaranya turut mengehadkan aktiviti ziarah Aidilfitri pada hari raya pertama saja dan terhad kepada 20 orang bergantung kepada keluasan rumah yang dikunjungi.

Disiarkan pada: May 15, 2020 @ 5:26pm
d