mutakhir

KPW gazetkan 103 tapak niaga untuk usahawan belia

Oleh Redzuan Muharam

KEMENTERIAN Wilayah Persekutuan (KWP) akan membantu usahawan belia menerusi penyediaan 103 tapak sebagai permulaan yang akan digazetkan di dalam pusat beli belah serta lokasi strategik.

Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa berkata, inisiatif itu dilaksanakan bagi membolehkan usahawan belia menjalankan perniagaan di kawasan maju dan kompetitif seperti pusat beli belah besar serta tempat yang menjadi tumpuan pelancong.

Annuar berkata, beliau sudah mengadakan perbincangan dengan jenama antarabangsa terkenal bagi meninjau prospek dan terdapat beberapa syarikat serta francais boleh disertai golongan belia.

"Saya tahu sukar untuk belia mendapatkan ruang niaga di dalam pusat beli belah.

"Namun, beberapa lokasi sekitar Kuala Lumpur sudah dikenal pasti sama ada untuk penempatan kiosk, gazebo, kenderaan saji moden yang membolehkan membuka ruang dan peluang perniagaan.

"Saya ingin mengundang belia yang dedikasi dan sanggup bagi membolehkan program seperti ini dijayakan di segenap penjuru termasuk jalan utama, laluan bas, hentian Transit Aliran Ringan (LRT) dan tempat tumpuan pelancong, " katanya .

Beliau berkata demikian menerusi siaran langsung di Facebook ( FB Live ), hari ini sempena sambutan Hari Belia 2020.

Menurut Annuar, beliau mahu melihat belia menjalankan perniagaan dalam keadaan baik, teratur, moden dan menarik.

Katanya, perkara itu sudah diperincikan dan pihaknya sudah meminta agensi berkaitan seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Perbadanan Putrajaya dan lain-lain lagi yang berkaitan mengenal pasti lokasi, tapak serta menetapkan garis panduan.

"Untuk membolehkan program ini dijayakan dengan lebih berkesan, perbincangan turut diadakan bersama Menteri Belia Sukan, Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi mengenai konsep perniagaan .

"Bagaimanapun, ia tidak mungkin dijayakan tanpa komitmen dan kesungguhan belia.

"Kita sudah berada di tahun 2020 dan sempena Hari Belia, mengapa tidak tanam keazaman baru dan sahut seruan jadikan diri peneroka kota dalam bidang keusahawanan," katanya

Dalam pada itu, Annuar berharap belia tampil mengambil alih pekerjaan yang sebelum ini dilakukan oleh warga asing termasuk di pasar borong.

Katanya, langkah itu susulan tindakan diambil terhadap warga asing yang menjalankan perniagaan menyalahi undang-undang di ibu kota.

"Kita minta bandaraya (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) terus ambil tindakan mengikut undang-undang dan Alhamdulillah, beribu orang (warga asing) dikenakan tindakan secara bersepadu.

"Saya tahu perkara ini tidak disenangi tetapi mahu DBKL dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) terus jalankan penguatkuasaan bagi membolehkan kita berada di landasan betul.

"Ada masalah setelah pekerja asing tidak dibenarkan beroperasi tetapi apakah kita sanggup mengambil alih tugas dan kerja berkenaan. Ini kerana ada yang kata kerja itu tidak menarik, berat, kotor, bau busuk dan sebagainya, " katanya.

Disiarkan pada: May 15, 2020 @ 5:33pm
d