mutakhir

Remaja berhasrat hantar lukisan digital kepada Agong

Oleh Faliqah Alia Radin Mohd

"SIFAT rendah diri dan jiwa rakyat baginda adalah inspirasi buat saya dalam menghasilkan potret digital itu." kata Muhammad Ariff Bahnan, 19.

Remaja itu mula mendapat perhatian apabila potret digital Yang di-Pertuan Agong Al Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang dihasilkannya itu tular di media sosial.

Pelajar Tingkatan Enam aliran seni, Sekolah Menengah Shah Alam, Selangor, itu meluahkan hasrat untuk memberikan lukisan dihasilkan kepada baginda.

Mengulas lanjut, Aliff berkata, lukisan itu mula dihasilkan sekitar September lalu dan baru sahaja disiapkannya.

"Saya mula minat untuk melukis sejak di bangku sekolah dan selalu masuk pertandingan mewarna dan melukis.

"Saya ada juga menghasilkan lukisan potret digital orang lain sebelum ini kerana mahu mengasah bakat yang ada," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurutnya lagi, dia juga menghadapi cabaran menghasilkan potret digital figura kesayangan rakyat jelata itu.

"Saya mengambil masa sembilan jam menghasilkan lukisan Raja Permaisuri Agong manakala enam jam untuk potret Yang di-Pertuan Agong.

"Paling mencabar adalah menghasilkan tengkolok dan muka yang memerlukan perincian teliti di setiap sudut.

"Kalau dah siap, saya akan tengok semula dan betulkan potret itu hingga saya rasa sempurna.

"Untuk proses mencantikkan lagi gambar itu boleh ambil antara enam jam atau satu hingga dua hari," katanya.

Bakat kesenian Aliff itu sememangnya datang dari kedua orang ibu bapanya yang turut mahir dalam lukisan.

"Ibu bapa saya bekerja sendiri di pasar malam. Mereka banyak menyokong saya dalam menceburi bidang ini.

"Saya berhasrat ingin menjadikan minat ini sebagai kerjaya iaitu menjadi guru seni di sekolah." katanya.

Disiarkan pada: May 15, 2020 @ 5:55pm
d