mutakhir

Angkasa hulur sumbangan barang keperluan asas

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

SERAMAI 160 warga Klinik Kesihatan Kelana Jaya menerima sumbangan keperluan asas daripada Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) menerusi Program Barangan Asas 100 (BA100), hari ini.

Presiden Angkasa merangkap Presiden Asean Co-operative Organization (ACO) Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, pihaknya menghargai penat lelah petugas barisan hadapan yang banyak mengorbankan masa dan tenaga memerangi jangkitan wabak Covid-19 yang melanda negara.

"Angkasa menzahirkan penghargaan melalui penyerahan barang keperluan harian selaras dengan Inisiatif kami menggerakkan program tanggungjawab sosial koperasi (CSR) 'Coop Care' bertepatan dengan Prinsip Koperasi Ketujuh iaitu Berprihatin Terhadap Masyarakat.

"Kami berharap sumbangan ini dapat meringankan beban perbelanjaan dan kekangan masa untuk mendapatkan barang keperluan asas sempena persiapan menyambut ketibaan Syawal terutama dalam kalangan petugas barisan hadapan yang bekerja keras sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang disambung sehingga 9 Jun ini," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Penyerahan sumbangan itu dilakukan Abdul Fattah kepada Pengarah Kesihatan Selangor Datuk Dr Sha'ari Ngadiman di Klinik Kesihatan Kelana Jaya, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Presiden Angkasa Datuk Kamarudin Ismail serta Naib Presiden Angkasa iaitu Datuk Mohd Ali Hasan, Datuk Che Mohd Shukree Che Isa, Prof Madya Datuk Dr Abdul Rahman Abdul Razak Shaik dan Ketua Klinik Kesihatan Kelana Jaya Dr Nik Mazlina Mohammad.

Abdul Fattah berkata, Angkasa sebagai badan Gerakan Koperasi negara yang menaungi 14,417 koperasi mahu gerakan itu dilihat sebagai institusi bukan saja mementingkan pembangunan ekonomi malah menitikberatkan kesejahteraan sosio-ekonomi masyarakat.

"Kami memperuntukkan RM500,000 untuk disumbangkan ketika pandemik Covid-19. Setakat ini, sebanyak RM250,000 sudah diagihkan dan program berbentuk sumbangan ini akan diteruskan kepada petugas barisan hadapan dan masyarakat yang terkesan akibat wabak ini.

"Antara barangan disumbangkan adalah barang keperluan harian yang terdapat dalam senarai program Barang Asas 100 (BA100) seperti beras, minyak masak, gula dan tepung dengan nilai sumbangan berjumlah RM8,000," katanya.

Beliau berkata, BA100 adalah program berteraskan platform e-dagang yang mengumpulkan belian barangan asas secara pukal mengikut permintaan di kedai runcit milik koperasi bagi membantu kerajaan mengurangkan beban kos sara hidup rakyat.

"BA100 menawarkan barangan keperluan harian dengan harga lebih jimat kepada pengguna menerusi platform digital www.jimatshop.com.

"Angkasa menyasarkan sebanyak 3,000 koperasi akan mendaftar program BA100 sehingga tahun depan," katanya.

Keterangan gambar:

1. PENYERAHAN sumbangan keperluan asas kepada 160 warga Klinik Kesihatan Kelana Jaya menerusi Program Barangan Asas 100 (BA100) yang disampaikan Presiden Angkasa merangkap Presiden ASEAN Co-operative Organization (ACO) Datuk Abdul Fattah Abdullah kepada Pengarah Kesihatan Selangor, YBhg. Datuk Dr Sha'ari Ngadiman di Klinik Kesihatan Kelana Jaya, Petaling Jaya, hari ini.

Disiarkan pada: May 15, 2020 @ 8:24pm
d