mutakhir

Dr Luqman mampu pimpin institusi fatwa

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri yakin Dr Luqman Abdullah mampu memimpin institusi fatwa di Wilayah Persekutuan.

Pensyarah Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM) itu dilantik sebagai Mufti Wilayah Persekutuan yang baharu menggantikan beliau.

Dr Zulkifli menerusi kenyataan di Facebook rasminya hari ini berkata, majlis serah terima tugas mufti berkenaan berlangsung dalam suasana ringkas dan mahabbah.

"Saya berdoa kepada Allah SWT semoga dikurniakan kekuatan kepada Sahibus Samahah Mufti Wilayah Persekutuan supaya dapat melaksanakan amanah dengan sebaik mungkin.

"Saya amat yakin Sahibus Samahah Dr Luqman mampu untuk memimpin institusi fatwa yang memberi manfaat besar kepada umat Islam di Wilayah Persekutuan," katanya yang mengucapkan tahniah kepada Dr Luqman.

Dr Zulkifli turut memohon maaf kepada umat Islam sepanjang beliau memegang jawatan Mufti Wilayah Persekutuan sebelum ini.

Katanya, sepanjang tempoh enam tahun memegang jawatan itu memberi pengalaman amat bermakna buat dirinya.

"Saya mohon maaf kepada semua umat Islam di Wilayah Persekutuan dan Malaysia amnya sekiranya terdapat tutur kata, tindakan mahupun apa jua salah dan silap sepanjang enam tahun sebelum ini," katanya.

Dr Luqman dilantik sebagai Mufti Wilayah Persekutuan berkuat kuasa mulai 15 Mei hingga 14 Mei 2022.

Dr Luqman berusia 51 tahun dilahirkan di Kelantan dan anak kepada seorang ulama terkenal iaitu Allahyarham Tuan Guru Abdullah Abdul Rahman yang juga Pengerusi Madrasah Ar Rahmaniah Pondok Lubok Tapah.

Disiarkan pada: May 16, 2020 @ 1:29pm
d